Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini berkenan berangkat ke perlawanan Liga Belia Bawah 20 Tahun (B20) Persatuan Bola Sepak Negara Brunei Darussalam (FABD) 2023 antara DPMM FC dan FC Phosphor di Stadium Mini Jerudong Park di Jerudong.
Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim tampil sebagai kapten pasukan untuk DPMM FC B20 dalam kemenangan 3-0 menentang FC Phosphor.
Keputusan itu membantu mereka memperoleh mata maksimum dalam jadual dengan sembilan mata berikutan kemenangan ketiga musim ini.
Tuan rumah hampir diberi pendahuluan selepas pertahanan FC Phosphor tersilap langkah apabila bola jatuh ke laluan Zarif Muzaffar Abdulhana Rizal, namun penyerang itu melepaskan rembatan yang lebar.
Pada awal separuh masa kedua, penyerang FC Phosphor, Noor Rusyazuan Noor Riduan melepasi pemain pertahanan namun tidak mencetak sebarang gol apabila dia mengalami kecederaan.
Sementara itu, pemain gantian DPMM FC, Akram Waqeel Bakri berlari sepenuh tenaga sebelum membuat hantaran kepada YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim namun rembatannya meleret jauh dari gawang pihak lawan.
Akram Waqeel terus menggugat pertahanan FC Phosphor sebelum menanduk masuk bola dari jarak dekat pada minit ke-57 selepas pasukan pelawat gagal menguasai perlawanan susulan sepakan sudut.
Tuan rumah semakin meningkatkan tekanan apabila pemain pertahanan, Mahmus Khalish Haji Zaifulizham melakukan rembatan rendah ke sudut bawah lima minit kemudian.
Tuan rumah mendapat lebih banyak peluang apabila Adrian Zizry Nur Khairi melepaskan sepakan yang mendarat terus ke dakapan penjaga gol FC Phosphor.
Bek tengah DPMM FC, Arin Danial Haji Mohd Yusra mencipta peluang apabila dia menemui ruang dalam kotak untuk melancarkan serangan namun penjaga gol FC Phosphor tampil dengan penyelamatan yang baik.
Gegar Gegar Muda mendapat gol ketiga permainan apabila Akram Waqeel, yang sudah pasti telah mengubah keadaan permainan, meledak gol cantik enam minit sebelum tamat perlawanan.