Oleh James Kon –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC), berkenan berangkat menyaksikan pertandingan penuh aksi Kejohanan Wusyu Remaja Dunia ke-9 yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, pagi tadi.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara berkenan menyaksikan tiga kategori iaitu Duilian A Lelaki, Duilian A Perempuan dan Nanquan C Perempuan.
Turut hadir ialah Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan Belia Dan Sukan (KKBS).
Atlet wusyu Brunei, Walid Lachkar dan Abel Lim Yuen Wee, berjaya meraih tempat kelima dalam kategori Duilian A Lelaki dengan markah 9.216, manakala Gwen Lee Yen Xi dari Brunei menduduki tempat keenam dalam kategori Nanquan C Perempuan dengan markah 8.390.
Seterusnya, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara berkenan menyampaikan hadiah kepada tiga pemenang teratas bagi kategori Duilian A Lelaki.
Manakala, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda menyampaikan pingat kepada pemenang tiga teratas bagi kategori Duilian A Perempuan.