Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Seramai lebih 30 orang pelajar perempuan dari pelbagai sekolah menyertai bengkel bola sepak yang merupakan sebahagian daripada Program Utusan Sukan AS untuk wanita dan gadis yang berlangsung petang tadi di Persatuan Bola Sepak Negara Brunei Darussalam (FABD), di Berakas.
Berkenan berangkat menyertai bengkel berkenaan ialah anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah iaitu Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah.
Bengkel yang dianjurkan oleh Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Brunei Darussalam dengan kerjasama FABD itu dikendalikan oleh pemain bola sepak AS, Amy Allman Griffin dan Lorrie Fair Allen. Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk membantu menyokong minat wanita dalam sukan bola sepak. Bengkel yang diadakan pada hari ini merupakan kesinambungan daripada bengkel yang diadakan di Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC) di Daerah Belait kelmarin.


