Sunday, July 7, 2024
21.4 C
Brunei

    -

    Berkenan merasmikan Bangunan Surau Pusat Ehsan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Bangunan Surau Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan Bangunan Sekolah Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, hari ini.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan merasmikan bangunan berkenaan.

    Berkenan berangkat sama ialah Pengerusi Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar.

    Turut hadir ke majlis berkenaan ialah Penaung Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Datin Paduka Seri Hajah Mariam binti Haji Abdul Aziz. Majlis juga dihadiri oleh jemputan-jemputan khas, ahli-ahli masyarakat, pendidik dan penyokong bagi sama-sama meraikan dedikasi serta visi di sebalik institusi pendidikan inovatif berkenaan.

    Dalam sembah alu-aluannya, Pemegang Amanah Perubatan Pusat Ehsan, Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin memaklumkan bahawa Bangunan Sekolah Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam telah mula beroperasi sejak Januari 2024 setelah mendapat kebenaran dari Kementerian Pendidikan.

    Sekolah berkenaan merupakan sekolah khas bagi penuntut berkeperluan khas yang pertama di Negara Brunei Darussalam.

    Sekolah itu, ulasnya, dengan adanya guru profesional berserta pembantu guru dan ahli terapi menyediakan pelbagai program yang selaras dengan Program Early Years, sekolah rendah dan Program Kesediaan Sekolah (School Readiness Program).

    Program Kesediaan Sekolah itu merupakan kerjasama antara guru-guru pendidikan sekolah dan ahli terapi Pusat Ehsan untuk membantu persediaan pelajar-pelajar sebelum mengikuti pembelajaran sekolah secara formal.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen bersama YAM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah berkenan beramah mesra dengan salah seorang pelajar pusat berkenaan.

    Mengulas mengenai bangunan Surau Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Dato Paduka Dr Haji Affendy menyatakan bangunan itu telah dapat dimanfaatkan oleh pelajar berkeperluan khas di mana ia menawarkan persekitaran yang tenang dan selesa untuk beribadah.

    Selain itu, aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di surau seperti kelas agama dan sesi bimbingan rohani dapat membantu mereka membina keyakinan diri serta meningkatkan kesejahteraan emosi.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan beramah mesra dengan salah seorang pelajar pusat berkenaan. – GAMBAR- GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Ikuti berita lanjut di Media Permata keluaran Jumaat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sidang Kemuncak SCO alu-alukan keahlian Belarus

    ASTANA, 5 JULAI – Sidang Kemuncak Majlis Ketua-ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) ke-24 yang berakhir kelmarin menyaksikan pencapaian luar biasa, termasuk penerimaan Deklarasi...