Monday, November 25, 2024
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan mulakan Keberangkatan Negara

    LIMA, REPUBLIK PERU, 13 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat memulakan Keberangkatan Negara ke Republik Peru dengan menghadiri Floral Offering Ceremony; Majlis Sambutan Rasmi; Perjumpaan bersama Puan Yang Terutama Presiden Republik Peru; Mesyuarat Dua Hala; Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) dan Majlis Penganugerahan Grand Collar of the Order of the Sun of Peru; Majlis Santap Negara Tengah Hari; Perjumpaan bersama Tuan Yang Terutama Datuk Bandar Lima dan Majlis Penyerahan The Key of Lima City; Perjumpaan bersama Tuan Yang Terutama Presiden Kongres; Majlis Penganugerahan Pingat Kehormatan Congressional Medal of Honour serta Perjumpaan bersama Tuan Yang Terutama Presiden Mahkamah Agung. 
     
    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. 
     
    FLORAL OFFERING CEREMONY 
     
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berangkat menghadiri Floral Offering Ceremony bertempat di Parque del los Proceres de la Independencia (Park of the Heroes of Independence), Lima, Peru. 
     
    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Presiden Majlis Menteri-menteri Republik Peru, Tuan Yang Terutama Gustavo Lino Adrianzen. Baginda seterusnya berangkat melintas barisan kawalan kehormatan dan dijunjung ke tugu peringatan bagi upacara Floral Offering Ceremony
     
    Park of the Heroes of Independence dirasmikan pada 27 Julai 1971 sebagai sebuah taman khas untuk memperingati wira-wira yang memperjuangkan menuju kemerdekaan Republik Peru.
     
    Keberangkatan tiba KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dialu-alukan oleh Presiden Republik Peru, PYT Dina Ercilia Boluarte Zegarra dan seterusnya disembahkenalkan kepada pegawai-pegawai kabinet Peru, diikuti dengan pengenalan rombongan delegasi Negara Brunei Darussalam kepada PYT Presiden Republik Peru. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan berkenan menerima Pingat Kehormatan Congressional Medal of Honour daripada TYT Eduardo Salhuana Cavides. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan dijunjung bergambar ramai bersama Presiden Mahkamah Agung Republik Peru. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan berkenan menerima Grand Collar of the Order of the Sun of Peru yang dianugerahkan oleh PYT Presiden Republik Peru. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah semasa Majlis Santap Negara Tengah Hari di Gran Cornedor. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan semasa berkenan menghadiri mesyuarat dua hala bersama PYT Presiden Republik Peru. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan berkenan menerima The Key to Lima City yang disembahkan oleh Datuk Bandar Lima. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan berkenan berangkat menghadiri Floral Offering Ceremony di Parque del los Proceres de la Independencia (Park of the Heroes of Independence), Lima, Peru. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    MAJLIS SAMBUTAN RASMI 
     
    Majlis Sambutan Rasmi telah berlangsung di Palacio de Gobierno (Government Palace) di Lima, Peru, di mana keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dialu-alukan oleh Presiden Republik Peru, PYT Dina Ercilia Boluarte Zegarra. Baginda seterusnya disembahkenalkan kepada pegawai-pegawai kabinet Peru, diikuti dengan pengenalan ahli-ahli rombongan delegasi Negara Brunei Darussalam kepada PYT Presiden Republik Peru. 
     
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian memeriksa barisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Peru. Lagu kebangsaan kedua-dua buah negara kemudiannya dimainkan. 
     
    PERJUMPAAN BERSAMA PYT PRESIDEN REPUBLIK PERU 
     
    Pada perjumpaan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menzahirkan ucapan terima kasih kepada Puan Yang Terutama atas undangan Keberangkatan Negara ke Republik Peru ini serta sambutan mesra dan layanan sangat baik. 
     
    Justeru itu, Baginda amat mengalu-alukan program Keberangkatan Negara tersebut dan percaya bahawa lawatan tersebut dapat memperkayakan lagi persefahaman dan kerjasama. 
     
    Pada kesempatan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menzahirkan penghargaan atas penganugerahan Grand Collar of the Order of the Sun. Akhir sekali, Baginda sukacita menjemput Puan Yang Terutama ke Negara Brunei Darussalam untuk mengadakan Lawatan Negara. 
     
    MESYUARAT DUA HALA 
     
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berangkat menghadiri Mesyuarat Dua Hala bertempat di Tupac Amaru Hall di mana Baginda bertitah pada permulaan mesyuarat, antara lainnya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Puan Yang Terutama, pemerintah serta rakyat Republik Peru atas sambutan mesra dan susun atur yang telah dihulurkan dengan terbaik. 
     
    Keberangkatan ini juga menandakan lawatan ketiga Baginda ke Peru, justeru itu Baginda menghargai undangan tersebut kerana ia juga merupakan Keberangkatan Negara pertama Baginda ke negara berkenaan. 
     
    Oleh itu, Baginda teruja dan berharap untuk mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak daripada pemerintah Peru dan seterusnya melahirkan keyakinan bahawa perbincangan-perbincangan pada hari ini akan membuahkan hasil dan mengukuhkan lagi persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua buah negara. 
     
    Selain itu, Baginda percaya bahawa terdapat potensi besar untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dan meneroka bidang-bidang baharu untuk kerjasama yang akan memberi manfaat kepada rakyat. 
     
    Seterusnya, Baginda berharap untuk menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC yang akan datang dan seterusnya mengucapkan tahniah kepada Puan Yang Terutama atas kejayaan sebagai Pengerusi APEC pada tahun ini, yang mencerminkan peranan penting Peru di persada antarabangsa. 
     
    Mesyuarat dua hala itu antara lainnya memberi tumpuan terhadap hubungan dua hala, di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengakui meskipun perdagangan dua hala agak sederhana, namun terdapat momentum baru-baru ini terutamanya melalui komoditi seperti urea. Negara Brunei Darussalam dan Republik Peru juga harus terus memanfaatkan keahlian bersama dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), untuk meningkatkan lagi hubungan perdagangan. 
     
    Ke arah ini, Baginda mengalu-alukan Republik Peru untuk meluaskan ufuk ekonominya ke Asia Tenggara melalui Negara Brunei Darussalam. 
     
    Baginda seterusnya menekankan bahawa pertukaran antara rakyat mengeratkan hubungan antara kedua-dua buah negara dengan signifikan dan Baginda melahirkan penghargaan atas pengaturan pengecualian visa yang sedia ada dalam memudahkan pertukaran tersebut serta menggalakkan kerjasama yang lebih luas dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, terutamanya dalam bidang vokasional teknikal. 
     
    Baginda juga merakamkan rasa berpuas hati dengan pemeteraian MoU mengenai perundingan dua hala dan MoU mengenai kerjasama kehakiman semasa Keberangkatan Negara ini, dan sekali gus membuka jalan untuk meningkatkan persefahaman dan kerjasama bersama. 
     
    Menyentuh tentang bidang pertahanan, Negara Brunei Darussalam dan Republik Peru mempunyai potensi untuk pertahanan dan penglibatan maritim yang bermakna melalui inisiatif latihan bersama dan pembinaan kapasiti. 
     
    Manakala perubahan iklim, tegas Baginda, masih merupakan cabaran penting bagi kedua-dua rantau, yang dimanifestasikan melalui bencana alam yang lebih hebat. 
     
    Untuk itu, Baginda me-ngongsikan bahawa penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN di Negara Brunei Darussalam adalah satu langkah ke hadapan dalam komitmen negara untuk menangani kebimbangan alam sekitar, serta mengalu-alukan sokongan Republik Peru terhadapnya. 
     
    Semasa mesyuarat tersebut, kedua-dua pemimpin juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, termasuk APEC, perkembangan di ASEAN termasuk penganugerahan Peru baru-baru ini sebagai Rakan Pembangunan ASEAN dan perkongsian ASEAN-Pacific Alliance.
     
    Pada penghujung mesyuarat ini, satu Kenyataan Bersama telah dikeluarkan. 
     
    MAJLIS PENANDATANGANAN MOU 
     
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Puan Yang Terutama seterusnya menyaksikan penandatanganan MoU antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerajaan Republik Peru mengenai Penubuhan Mekanisme Perundingan Dua Hala.
     
    Dokumen tersebut ditandatangani oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof, bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, bersama Menteri Luar Negeri, TYT Elmer Jose German Gonzalo Schialer Salcedo, yang mewakili pihak pemerintah Republik Peru. 
     
    MAJLIS PENGANUGERAHAN GRAND COLLAR OF THE ORDER OF THE SUN OF PERU 
     
    Selesai majlis penandatanganan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima Grand Collar of the Order of the Sun of Peru yang dianugerahkan oleh PYT Presiden Republik Peru, yang mana antara lainnya sebagai satu pengiktirafan dan simbol komitmen Republik Peru untuk terus bekerjasama dengan Negara Brunei Darussalam dalam mencapai kesejahteraan kepada rakyat kedua-dua buah negara.
     
    Anugerah tersebut merupakan penghormatan tertinggi daripada Peru yang telah diwujudkan sejak negara berkenaan mencapai kemerdekaan. 
     
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya bertitah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PYT Presiden Republik Peru atas penganugerahan Grand Collar of the Order of the Sun of Peru, yang mana anugerah berprestij ini melambangkan sejarah terkenal Peru dan merupakan bukti persahabatan dan hubungan kukuh kepada kedua-dua buah negara.
     
    Baginda menekankan bahawa penghormatan ini meningkatkan komitmen untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala. 
     
    Tambahan lagi, budaya bersemangat, warisan yang kaya dan peranan penting Peru dalam kerjasama serantau menjadikannya sebagai rakan kongsi yang dihargai di arena antarabangsa. 
     
    Akhir sekali, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berharap untuk meneroka jalan-jalan baharu untuk kerjasama yang akan dapat memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara dalam menyumbang keamanan dan kemakmuran global.
     
    MAJLIS SANTAP NEGARA TENGAH HARI 
     
    Pada sebelah tengah hari, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat ke Gran Cornedor bagi menghadiri Majlis Santap Negara Tengah Hari yang dihoskan oleh PYT Presiden Republik Peru. 
     
    Sebelum berangkat dari Government Palace, Kebawah Duli Yang Maha Mulia disembahkan dengan ucapan selamat berangkat daripada PYT Presiden Republik Peru. 
     
    PERJUMPAAN BERSAMA TYT DATUK BANDAR LIMA DAN MAJLIS PENYERAHAN THE KEY TO LIMA CITY 
     
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat mengadakan perjumpaan bersama Datuk Bandar Lima, TYT Rafael Lopez Aliaga di Palacio Municipal de Lima (Municipal Palace of Lima). Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan menerima sebuah pesambah berupa buku koleksi gambar. 
     
    Selesai perjumpaan berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat menghadiri Majlis Penyerahan The Key to Lima City, di mana TYT Datuk Bandar Lima menyembahkan The Key to Lima City kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia, sebagai tetamu tersohor di Bandaraya Lima. 
     
    Sementara itu, Tuan Yang Terutama semasa sembah ucapannya, antara lainnya menyatakan bahawa penyerahan itu melambangkan satu penghormatan tertinggi yang dianugerahkan oleh Bandar raya Lima kepada seorang tetamu terhormat, sekali gus memberikan peluang untuk menjalinkan hubungan yang baik kepada kedua-dua belah pihak. 
     
    Ini diikuti dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia merakamkan penghargaan atas penghormatan besar untuk menerima Key of the City of Lima berkenaan, sebagai simbol kepercayaan dan persahabatan yang penting. 
     
    Baginda seterusnya menzahirkan ucapan terima kasih atas kemesraan dan keramahan penduduk Lima, dan Baginda bertitah menyatakan bahawa Bandar raya Lima, di bawah kepimpinan Tuan Yang Terutama bandar raya itu terus menjadi sebuah hab budaya, ekonomi, dan politik. Transformasi Lima selama ini adalah luar biasa dan menawarkan pengajaran dan inspirasi berharga untuk bandar-bandar di seluruh dunia, termasuk di Negara Brunei Darussalam. 
     
    Oleh itu, Baginda percaya dengan penerimaan Key to the Lima City berkenaan menandakan pintu masuk untuk menjalin hubungan yang lebih mendalam dan bermakna antara kedua-dua buah negara.
     
    PERJUMPAAN BERSAMA TYT PRESIDEN KONGRES DAN MAJLIS PENGANUGERAHAN PINGAT KEHORMATAN CONGRESSIONAL MEDAL OF HONOUR
     
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berangkat mengadakan perjumpaan bersama Presiden Kongres, Tuan Yang Terutama Eduardo Salhuana Cavides, yang bertempat di Palacio Legislativo (Office of the President of Congress). 
     
    Selesai perjumpaan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima Pingat Kehormatan Congressional Medal of Honour daripada Tuan Yang Terutama, yang merupakan penganugerahan tertinggi yang disampaikan oleh Kongres Republik Peru. 
     
    Ini diikuti dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, di mana Baginda menzahirkan penghargaan atas penghormatan untuk menerima Congressional Medal of Honour yang berprestij dan Baginda percaya bahawa pingat ini adalah simbol teras sejarah Peru yang kaya raya dan merangkumi nilai-nilai yang telah lama wujud di Peru. 
     
    Pingat berkenaan juga melambangkan perkongsian dan persahabatan yang kukuh antara kedua-dua buah negara. 
     
    Oleh itu, Baginda amat mengharapkan pengukuhan hubungan dan saling bekerjasama ke arah matlamat-matlamat bersama.
     
    PERJUMPAAN BERSAMA TYT PRESIDEN MAHKAMAH AGUNG 
     
    Pada penghujung atur cara Keberangkatan Negara berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berangkat mengadakan perjumpaan bersama Presiden Mahkamah Agung, Tuan Yang Terutama Javier Arevalo Vela, di Palacio de Justicia (Palace of Justice). 
     
    Sebelum berangkat balik, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menandatangani buku pelawat.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda