Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan mulakan Keberangkatan Negara ke Hungary

    BUDAPEST, 19 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, telah berangkat memulakan Keberangkatan Negara ke Hungary dengan menghadiri Majlis Sambutan Kenegaraan; Upacara Meletakkan Kalungan Bunga; Perjumpaan Tête-À-Tête bersama Presiden Hungary, Tuan Yang Terutama Dr Tamás Sulyok; Mesyuarat Dua Hala bersama Tuan Yang Terutama Presiden Hungary; Majlis Penganugerahan Bintang Kebesaran Hungary The Grand Cross of the Hungarian Order of Merit with Chain and Gold Star dan Majlis Working Luncheon bersama Perdana Menteri Hungary, Tuan Yang Terutama Viktor Orbán.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Majlis Sambutan Kenegaraan

    Majlis Sambutan Kenegaraan bagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berlangsung di Kossuth Lajos Square, Budapest, di mana keberangkatan Baginda dialu-alukan oleh Presiden Hungary, Tuan Yang Terutama Dr Tamás Sulyok.

    Semasa majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama-sama Tuan Yang Terutama Presiden Hungary memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Hungarian Armed Forces. Lagu Kebangsaan kedua-dua buah negara kemudiannya dimainkan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan bersama-sama Tuan Yang Terutama Presiden Hungary memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan.

    Baginda turut disembahkenalkan kepada rombongan Hungary, manakala Tuan Yang Terutama Presiden Hungary diperkenalkan kepada para delegasi Negara Brunei Darussalam.

    Upacara Meletakkan Kalungan Bunga

    Semasa Upacara Meletakkan Kalungan Bunga yang berlangsung di Heroes’ Square, Budapest, keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah dijunjung oleh Captain of The Garrison Unit, Mr. György Szuhár.

    Heroes’ Square (Hősök tere) merupakan salah satu mercu tanda utama di Budapest. Ia menempatkan salah satu simbol ikonik bandar, iaitu Tugu Peringatan Milenium, yang merangkumi tujuh ketua suku kaum Magyar yang mengasaskan Hungary dan ketua-ketua negara penting yang lain dalam sejarah Hungary.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat meletakkan kalung bunga

    Majlis Perjumpaan Tête-À-Tête bersama Presiden Hungary, Tuan Yang Terutama Dr Tamás Sulyok

    Pada Perjumpaan Tête-À-Tête yang berlangsung di Sándor Palace, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menzahirkan ucapan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama atas undangan Keberangkatan Negara ke Hungary serta sambutan mesra dan layanan sangat baik dan menyatakan dengan keyakinan bahawa lawatan ini akan memperkukuh lagi hubungan dan kerjasama dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Hungary.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan bertemu Tuan Yang Terutama Presiden Hungary.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan hadir ke majlis perjumpaan bersama Tuan Yang Terutama Presiden Hungary. Turut berangkat bersama adalah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Pada kesempatan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menzahirkan rasa penghargaan atas penganugerahan Bintang Kebesaran Hungary The Grand Cross of The Hungarian Order of Merit with Chain and Gold Star dan seterusnya mengundang Tuan Yang Terutama Presiden Hungary untuk mengadakan Lawatan Negara ke Negara Brunei Darussalam.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan terima penganugerahan Bintang Kebesaran Hungary The Grand Cross of The Hungarian Order of Merit with Chain and Gold Star.

    Mesyuarat Dua Hala

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kemudian berangkat menghadiri Mesyuarat Dua Hala yang diadakan di Maria Theresa Salon, Sándor Palace di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah bahawa Negara Brunei Darussalam dan Hungary telah menikmati hubungan yang mesra dan bersahabat sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada tahun 1992. Hubungan tersebut diperkukuhkan melalui peningkatan interaksi, khususnya menerusi pertukaran rakyat-ke-rakyat serta kerjasama dalam rangka ASEAN–EU.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri Mesyuarat Dua Hala yang diadakan di Maria Theresa Salon, Sándor Palace.

    Baginda berharap agar interaksi aktif antara kedua-dua Menteri Luar Negeri akan terus menyumbang kepada momentum positif hubungan dua hala dengan membuka ruang baharu untuk memperluaskan kerjasama. Semasa Mesyuarat Dua Hala ini, Baginda merakamkan rasa berpuas hati atas penandatanganan Memorandum of Understanding on the Establishment of Bilateral Consultations sebagai satu detik penting dalam mengukuhkan lagi dialog, persefahaman dan kerjasama institusi antara kedua-dua buah negara terutama sekali membuka peluang-peluang dalam bidang pelaburan, pendidikan, tenaga dan pembangunan kapasiti, dalam mendokong usaha-usaha mempelbagaikan ekonomi Negara Brunei Darussalam di luar sektor minyak dan gas.

    Baginda juga bertitah melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Hungary atas penganugerahan biasiswa kepada kumpulan pertama pelajar Brunei yang kini berada di Hungary bagi pengajian mereka dan seterusnya mengalu-alukan para pelajar Hungary untuk melanjutkan pengajian mereka di Brunei.

    Dalam memperluaskan kerjasama dalam bidang pelancongan, Baginda menyambut baik kemudahan pengaturan pengecualian visa dan berharap agar pertukaran budaya, belia dan profesional dapat terus diperkukuhkan demi merapatkan hubungan rakyat kedua-dua negara.

    Semasa Mesyuarat Dua Hala ini juga, kedua-dua Pemimpin turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai berkepentingan bersama, termasuk perkembangan ASEAN, hubungan dialog ASEAN–EU dan penglibatan Hungary serta kemasukan bersejarah Timor-Leste sebagai Negara Anggota ASEAN ke-11. Baginda mengalu-alukan penyertaan Hungary pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN–EU ke-25 yang akan dihoskan oleh Negara Brunei Darussalam selaku Negara Penyelaras pada bulan April 2026.

    Manakala mengenai perubahan iklim, tegas Baginda bahawa ia memerlukan usaha bersama yang berterusan. Dengan penubuhan ASEAN Centre for Climate Change di Negara Brunei Darussalam, pusat tersebut akan menjadi inisiatif serantau untuk menangani isu-isu alam sekitar. Sehubungan itu, Baginda mengalu-alukan sokongan Hungary dalam aspek penyelidikan, perkongsian data dan pembangunan kapasiti berkaitan kemampanan.

    Akhirnya Baginda turut berkenan menyampaikan undangan kepada Tuan Yang Terutama untuk mengadakan Lawatan Negara ke Negara Brunei Darussalam pada masa yang akan dipersetujui bersama.

    Majlis penganugerahan Bintang Kebesaran Hungary The Grand Cross of The Hungarian Order of Merit with Chain and Gold Star

    Tuan Yang Terutama Presiden Hungary menganugerahkan Bintang Kebesaran Hungary The Grand Cross of The Hungarian Order of Merit with Chain and Gold Star kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang mana anugerah tersebut, antara lainnya sebagai satu pengiktirafan dan simbol komitmen Hungary untuk terus bekerjasama dengan Negara Brunei Darussalam dalam memelihara kesejahteraan rakyat kedua-dua buah negara. Anugerah tersebut merupakan penghormatan tertinggi daripada Hungary yang telah diwujudkan sejak negara berkenaan mencapai kemerdekaan.

    Majlis Working Luncheon bersama Tuan yang Terutama Perdana Menteri Hungary

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat ke Karmelita Monastery bagi menghadiri Majlis Working Luncheon yang dihoskan oleh Perdana Menteri Hungary, Tuan Yang Terutama Viktor Orbán. Semasa majlis ini, kedua-dua pemimpin turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk perkembangan ASEAN, hubungan ASEAN–EU, penglibatan Hungary di Asia Tenggara, perkembangan di Eropah dan Timur Tengah serta kerjasama dalam menangani perubahan iklim dan menggalakkan keamanan, kestabilan dan pertumbuhan mampan. Baginda bertitah mengenai ketersediaan Negara Brunei Darussalam untuk bekerjasama rapat dengan Hungary dalam memperkukuhkan kerjasama dalam menyokong kestabilan serantau dan hubungan antara rantau.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat hadiri majlis Working Luncheon bersama Tuan Yang Terutama Pedana Menteri Hungary. – GAMBAR-GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Baginda turut berkenan menyampaikan undangan kepada Tuan Yang Terutama Viktor Orbán untuk mengadakan Lawatan Rasmi ke Negara Brunei Darussalam pada masa yang akan dipersetujui bersama.

    Semasa Majlis Santap tersebut, Baginda turut disembahkenalkan kepada rombongan Hungary, manakala Tuan Yang Terutama Presiden Hungary diperkenalkan kepada ahli-ahli delegasi Brunei. Majlis Santap diserikan dengan persembahan musik tradisi Hungary.

    Sebelum berangkat dari Karmelita Monastery, Kebawah Duli Yang Maha Mulia disembahkan dengan ucapan selamat berangkat daripada Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Hungary.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda