Friday, February 21, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan pengerusikan mesyuarat bersama Brunei LNG, BGC

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi tadi berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei LNG Sdn Bhd ke-225 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC) ke-111 bagi Suku Pertama tahun 2025, yang berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Dato Seri Paduka Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, selaku ahli-ahli Lembaga Pengarah Brunei LNG dan BGC.

    Pada permulaan mesyuarat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah.

    Dalam titah tersebut, Baginda menzahirkan penghargaan di atas kemajuan yang telah dicapai oleh syarikat-syarikat Brunei Shell Joint Ventures (BSJV) dan Syarikat BGC sepanjang tahun 2024 dalam bidang-bidang utama.

    Baginda juga seterusnya menekankan kepentingan untuk mengekalkan pencapaian ini serta untuk terus memperkukuhkan lagi usaha ke arah kecemerlangan.

    Baginda juga menggalakkan komitmen berterusan daripada kakitangan dan kepimpinan dalam meningkatkan prestasi syarikat. Selain itu, Baginda menegaskan bahawa perancangan jangka panjang merupakan asas penting dalam memastikan kemampanan dan daya saing BSJV dan Syarikat BGC, serta meletakkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan dan kejayaan syarikat yang berterusan.

    Mesyuarat tersebut membincangkan aspek utama seperti prestasi operasi, keselamatan, kewangan, dan pembangunan tenaga manusia, di samping menetapkan hala tuju strategik bagi Brunei LNG dan BGC untuk tahun-tahun mendatang.

    Mesyuarat tersebut juga dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk shareholder directors yang mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia; Shell plc dan Mitsubishi Corporation serta ahli-ahli kepimpinan dari Brunei LNG dan BGC.

    Baginda seterusnya akan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd (BSP) ke-414 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Pemasaran Brunei Sdn Bhd (BSM) ke-192 bagi Suku Pertama tahun 2025, esok.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, kelmarin, berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei LNG Sdn Bhd ke-225 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC) ke-111 bagi Suku Pertama tahun 2025, yang berlangsung di Bangunan JPM. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah semasa mempengerusikan mesyuarat berkenaan. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan semasa berkenan berangkat ke mesyuarat berkenaan.
    – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan semasa berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei LNG ke-225 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah BGC ke-111 bagi Suku Pertama tahun 2025 di Bangunan JPM, kelmarin. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda