Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad (BSP) Ke-415 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei Shell Marketing Sendirian Berhad (BSM) Ke-193 bagi Suku Kedua tahun 2025 yang berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini.
Keberangkatan tiba Baginda Sultan dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatam Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah selaku ahli-ahli Lembaga Pengarah BSP dan BSM.

Semasa mesyuarat berkenan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah menekankan kepentingan mengamalkan piawaian tertinggi dalam keselamatan, prestasi dan akauntabiliti pada kesemua syarikat-syarikat Brunei Shell Joint Ventures (BSJV) dan Brunei Gas Carriers (BGC).
Baginda menyeru pelaksanaan yang lebih baik, budaya keselamatan psikologi dan kewaspadaan berterusan demi ketahanan dan impak jangka panjang.
Baginda juga mengiktiraf kemajuan dalam kecekapan kos dan menggalakkan tumpuan berterusan terhadap disiplin kos, pembangunan kepimpinan dan kesedaran risiko.

Mesyuarat tersebut juga membincangkan isu-isu penting seperti prestasi operasi, keselamatan, kewangan dan pembangunan tenaga manusia bagi BSP dan BSM.
Mesyuarat berkenaan dimulakan dengan bacaan Doa dan turut dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk pengarah-pengarah pemegang taruh yang mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; Shell plc serta ahli-ahli kepimpinan daripada BSP dan BSM.
Mesyuarat tersebut seterusnya diikuti dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, menandakan berakhirnya sesi Mesyuarat-mesyuarat Lembaga Pengarah-pengarah Syarikat-syarikat BSJV bagi Suku Kedua 2025.


