Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 4 DIS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat bercemar duli ke majlis perasmian Jambori Nasional ke-5 Brunei Darussalam di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Tutong.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Keberangkatan tiba Baginda Sultan dan paduka-paduka anakanda dijunjung oleh Yang Di-Pertua Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Dato Paduka Ar Haji Idris bin Haji Abas serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh ahli Pengakap Kelana, Pasukan Kelana Terbuka Tutong 2020, Awang Muhammad Aqil Arfan bin Arjune.
Seterusnya Persetiaan Pengakap dilaungkan dengan diketuai oleh ahli Pengakap Kelana, Pasukan Kelana Terbuka 1033, Awang Adam Rusydan bin Haji Ramli.
Majlis disusuli dengan sembah alu-aluan Dato Paduka Ar Haji Idris yang antara lain menjelaskan, jambori berkenaan menandakan acara kemuncak sambutan perayaan ulang tahun penubuhan PPNBD ke-90 tahun sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) tertua di negara ini.
Beliau menyembahkan, PPNBD melaksanakan pelbagai usaha untuk menjadikan persekutuan boleh bertahan dan relevan dalam menghadapi cabaran-cabaran perubahan zaman dan kemahiran ke abad ke-21.
“Pastinya hal ini secara tidak langsung akan membawa kepada sumbangan belia dalam ahli pengakap untuk sama-sama menggapai kemajuan bangsa dan negara pada masa depan,” tambahnya.
Beliau turut menyembahkan, tema jambori berkenaan adalah Scouts on the Move, yang bererti pergerakan pengakap kita sentiasa bergerak aktif dan terus maju ke hadapan mengikut perkembangan dunia semasa.
Pada majlis itu, Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah sebelum merasmikan Jambori Nasional ke-5.
Baginda Sultan dan kerabat diraja kemudian berkenaan menyaksikan persembahan padang antaranya nyanyian koir lagu Scouts on the Move sejajar dengan tema jambori, persembahan seni bela diri dan persembahan seni tarian tujuh puak jati Brunei.
Seterusnya, Baginda Sultan dijunjung menyempurnakan penganugerahan bintang-
bintang tertinggi pengakap kepada pemimpin-pemimpin pengakap iaitu Anugerah
Bintang Rakis, Anugerah Bintang Jasa Cemerlang Kelas Kedua dan Pingat Anugerah Persahabatan Antarabangsa Brunei.
Baginda seterusnya dijunjung menerima pesambah sebelum berkenan bergambar ramai.
Baginda Sultan dan kerabat diraja kemudian berkenan berangkat menyaksikan petak pameran yang diketengahkan oleh 10 agensi yang terlibat dan dijunjung menghadiri majlis santap.
Kemudian, Baginda Sultan dan kerabat diraja dijunjung berangkat menyempurnakan penanaman pokok dan bercemar duli ke tapak perkhemahan ahli pergerakan pengakap.
Di samping itu, Baginda turut berkenan menandatangani warkah kenangan dan menerima pesambah daripada Sub Kem Brunei Muara.
Keberangkatan Baginda Sultan dan paduka-paduka anakanda mencerminkan keprihatinan Baginda terhadap penglibatan golongan muda dalam pasukan beruniform khususnya pergerakan berpengakap di negara ini.
Lebih 800 orang peserta dari dalam dan luar negara menghadiri jambori kali ini, termasuk peserta dari Malaysia iaitu Selangor, Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Labuan, Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Singapura; Indonesia dan Thailand.
Jambori Nasional ke-5 dianjurkan di Daerah Tutong kerana daerah ini merupakan tempat pertama diadakan Perkhemahan Pengakap Senegeri pada 1933.
Penganjurannya antara lain bertujuan untuk memupuk dan menyemai persahabatan dan kerjasama dalam kalangan pengakap, mengenali serta menyemai sikap menghormati kepelbagaian, dan menanamkan sikap bertanggungjawab dalam persediaan mereka sebagai pemimpin masa depan.
Ia juga diharap untuk menjadikan PPNBD sebagai salah satu pertubuhan bukan kerajaan yang menjadi pilihan golongan belia dengan menawarkan kegiatan yang bersesuaian dan menarik, di samping sebagai satu wadah bagi ahli-ahli pengakap untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran.