Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Masjid baharu Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Meragang mula dibukakan untuk orang ramai dengan sembahyang Fardu Jumaat yang pertama di masjid berkenaan, hari ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat merasmikan masjid berkenaan.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Pada majlis itu, Baginda Sultan dijunjung menandatangani plak dan diiringi dengan laungan takbir ‘Allahu Akbar’ sebanyak tiga kali yang dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama sebagai tanda perasmian masjid baharu tersebut yang dikenali sebagai Masjid Az-Zakireen Meragang.
Khutbah Jumaat pertama di masjid berkenaan disampaikan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Sementara itu sembahyang Fardu Jumaat telah diimamkan oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Salim bin Haji Besar.
Antara kemudahan yang disediakan di masjid berkenaan adalah tandas untuk orang kelainan upaya (OKU), bilik kuliah, bilik perpustakaan, bilik pengurusan jenazah serta tempat letak kereta termasuk untuk OKU.
Bangunan masjid dibina di atas sebidang tanah berkeluasan 8.159 ekar dengan anggaran peruntukan di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) berjumlah $4.3 juta.
Keseluruhan kapasiti Masjid Az-Zakireen Meragang boleh menampung lebih kurang 2,200 orang jemaah.
Dengan pembukaan masjid baharu itu dapat memberi keselesaan kepada para penduduk kampung atau jemaah yang menunaikan sembahyang fardu lima waktu dan sembahyang Fardu Jumaat serta dihasratkan untuk digunakan oleh para penduduk bagi melakukan kegiatan-kegiatan serta aktiviti keagamaan ke arah meningkatkan dan mengembangkan syiar Islam di kampung tersebut dan di negara ini amnya.