Sunday, December 29, 2024
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan rasmi Mercu Dirgahayu 60

    10 tahunBANDAR SERI BEGAWAN, 23 Julai 2007 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Mercu Dirgahayu 60 di tapak bekas Pos Kawalan Imigresen di ibu negara.

    Mercu Dirgahayu 60 bernilai $1.5 juta itu merupakan tajaan serta sumbangan dari sektor swasta dan rakyat serta penduduk di negara ini.

    Ia adalah cenderamata kenangan dan sebagai pesembah kekal serta cetusan tanda kasih dan taat setia rakyat ke hadapan majlis – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-60 tahun.

    Mercu Dirgahayu 60 juga melambangkan manifestasi luahan jiwa dan hati serta dukungan erat rakyat dan penduduk negara ini terhadap kewibawaan serta kepimpinan Baginda Sultan dalam menerajui tampuk pemerintahan negara ini bagi mewujudkan perpaduan, keamanan, keselamatan, kesejahteraan dan pembangunan Brunei ke mercu kecemerlangan dan kegemilangan.

    Rekaan seni binanya berasaskan konsep falsafah negara iaitu Melayu Islam Beraja, dengan elemen yang mempunyai pengertian tersirat seperti struktur utama berwarna keemasan dengan bentuk angka ‘60’ dalam huruf Arab, yang menunjukkan identiti keislaman dan melambangkan usia Baginda Sultan yang ke-60 tahun.

    Lima tiang dengan setiap satu diletakkan di kelima-lima penjuru bahagian dasar Mercu Dirgahayu 60 membentuk segi lima melambangkan rukun Islam yang lima dengan pegangan agama Islam sebagai agama rasmi negara.

    Curahan air dari lima tiang ke dalam kolam mencerminkan keadaan negara ini yang sentiasa berada dalam keadaan aman, makmur dan sejahtera.

    Manakala 60 lampu yang terapung di atas kolam air dengan pancaran lampu bergerak mengikut riak air kolam melambangkan doa restu rakyat dan penduduk ke hadrat Allah agar Baginda Sultan dilanjutkan usia dan sentiasa dalam keadaan sihat, aman bahagia serta sentiasa dalam perlindungan Allah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda