Saturday, July 12, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan rasmi musabaqah kebangsaan

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JAN – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441H/2020M bertempat di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ’Abdul Malik.
    Keberangkatan tiba DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Tahun 1441 Hijrah dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441H/2020M.

    Turut menjunjung keberangkatan ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar; Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Awang Besar dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Tahun 1441 Hijrah serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi yang lain.

    Empat orang peserta yang terdiri daripada dua orang qari dan dua orang qariah memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran bagi hari pertama musabaqah.

    Pada majlis itu, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan mengurniakan sabda dan seterusnya menyempurnakan perasmian musabaqah.

    Keberangkatan tiba DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berserta DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menerima junjung ziarah.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ketika berkenan menghadiri Majlis Perasmian Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441H/2020M, malam tadi.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ketika berkenan berangkat ke majlis perasmian musabaqah di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
    Awang Mohammad menjadi perserta qari pertama yang memperdengarkan bacaannya.
    Dayangku Amal Zahirah memperdengarkan bacaannya pada hari pertama musabaqah.

    Antara jemputan yang menghadiri majlis perasmian berkenaan, malam tadi.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim sebelum diikuti dengan sembah alu-aluan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

    Dalam sembah alu-aluannya, Yang Berhormat Pehin telah menyembahkan bahawa pada tahun ini secara keseluruhannya seramai 66 orang peserta telah bertanding di peringkat daerah bagi masjid-masjid seluruh negara dengan 42 orang mara ke peringkat separuh akhir kebangsaan ditambah dengan 11 orang peserta menunggu termasuk seorang johan Majlis Tilawah Al-Quran Belia Kebangsaan tahun 2018.

    Daripada seramai 53 orang peserta di peringkat separuh akhir, hanya 12 orang sahaja terpilih ke musabaqah pada malam ini di mana kesemua peserta di semua peringkat adalah yang berusia antara 18 hingga 39 tahun.

    Peserta pertama yang memperdengarkan bacaannya ialah Awang Muhammad bin Ali yang membacakan Surah Al-Anfaal mulai ayat 1 diikuti peserta kedua, Dayangku Amal Zahirah binti Pengiran Haji Jofri yang membaca Surah Al-Anfaal mulai ayat 9.

    Majlis berhenti sementara dengan memperdengarkan persembahan bacaan Al-Quran oleh qari jemputan dari Malaysia, Che Yahaya bin Daud yang merupakan johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur tahun 1999M.

    Musabaqah disambung kembali dengan memperdengarkan bacaan oleh Awang Mohd Zul-Hafiz bin Awang Tengah yang membaca Surah Al-Anfaal mulai ayat 15 dan diikuti dengan bacaan daripada Dr Hajah Siti Wardah binti Mejar (B) Haji Abdul Rahman yang membaca Surah Al-Anfaal mulai ayat 24.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Sayyidul Istighfar oleh 30 orang penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Bagi memeriahkan lagi majlis, pameran dan jualan buku-buku daripada agensi-agensi kerajaan, jualan usahawan Mualaf, dan jualan daripada beberapa syarikat swasta yang dijemput turut diadakan.

    Tema Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441H/2020M ialah Menjana Keberkatan Rezeki Dengan Al-Quran.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda