Thursday, February 13, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan rasmi Pameran Darussalam dan Kota Singa

    Oleh Salawati Haji Yahya

    Gambar Infofoto

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Nov – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah kelmarin berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Pameran Darussalam dan Kota Singa: Pameran Brunei-Singapura yang berlangsung di Bangunan Galeri Seni, Dermaga Diraja.

    Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan serta Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.

    Majlis perasmian turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Republik Singapura dan Menteri Penyelaras Keselamatan Negara, Tuan Yang Terutama (TYT) Teo Chee Hean berserta isteri, Chew Poh Yim.

    Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Republik Singapura, Puan Yang Terutama Grace Fu Hai Yien.

    Di majlis itu, Duli Yang Teramat Mulia berkenan merasmikan Pameran Darussalam dan Kota Singa: Pameran Brunei-Singapura bersama TYT Teo Chee Hean.

    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz berkenan bergambar ramai bersama TYT Teo Chee Hean dan isteri, Chew Poh Yim, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dan Puan Yang Terutama Grace Fu Hai Yien.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan TYT Teo Chee Hean melawat salah satu galeri Pameran Darussalam dan Kota Singa: Pameran Brunei-Singapura.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyaksikan Pameran Darussalam dan Kota Singa: Pameran Brunei-Singapura.
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz berkenan menyaksikan Pameran Darussalam dan Kota Singa.
    Persembahan kebudayaan dari Republik Singapura.

    Terdahulu, Surah Al-Fatihah dan Doa dibacakan, dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal seterusnya diikuti dengan sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Muzium-muzium Brunei, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

    Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia kemudian berangkat bersama Tuan Yang Terutama dan isteri untuk menyaksikan pameran mengenai Negara Brunei Darussalam yang disembahkan oleh Pemangku Pengarah Kebudayaan, Belia dan Sukan, Haji Mohammad Abdoh bin Haji Awang Damit.

    Seterusnya, Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia bersama Tuan Yang Terutama dan isteri menyaksikan persembahan muzik daripada Kumpulan yIN Harmony, Republik Singapura.

    Sebelum berangkat meninggalkan majlis, DYTM Pengiran Muda Mahkota dan YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah bersama TYT Teo Chee Hean dan isteri menyaksikan pameran mengenai Republik Singapura di mana sepanjang berada di ruang pameran itu, sembah penerangan pameran di sembahkan oleh Pengurus Besar Muzium Filatelik Singapura, Tresnawati Prihadi.

    Datin Paduka Dr. Hajah Norlila dalam sembah alu-aluannya menjelaskan, pameran tersebut adalah sempena meraikan persahabatan kukuh dan erat di antara kedua-dua buah negara serta meraikan Ulang Tahun ke-50 Perjanjian Kesalingbolehtukaran Mata Wang yang dimeterai pada 12 Jun 1967.

    “Pameran kali yang kini diadakan di Bandar Seri Begawan, Kota Budaya ASEAN bagi tahun 2016 hingga 2018 ini mempamerkan hubungan antara kedua-dua buah negara yang mempamerkan sejarah dan hubungan dua hala di samping membawa kisah-kisah rakyat dan budaya Singapura melalui bahan-bahan setem dan filateli, nota mata wang dan duit syiling; artifak sejarah dan pameran multimedia interaktif,” jelasnya.

    Pameran bersama ini adalah satu manifestasi hubungan persahabatan yang erat antara kedua-dua buah negara yang mana pameran yang seumpamanya telah diadakan di Republik Singapura pada bulan Julai tahun ini.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan merasmikan pameran tersebut bersama Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong sempena Keberangkatan Negara Baginda Sultan ke Republik Singapura.

    Sejak perasmian pameran tersebut di Singapura yang lalu, ia telah berjaya menarik 50,000 pengunjung yang mana kandungan galeri pertama yang terdapat di pameran di Singapura sama dengan pameran yang ada di pameran ini.

    Manakala galeri kedua yang dipamerkan di Singapura yang mempamerkan Alat-alat Kebesaran, Istiadat Perpuspaan 1968 dan Jubli Perak 1992 Kebawah Duli Yang Maha Mulia adalah yang pertama dipamerkan di Asia. Pameran ini dibuka sehingga 30 April 2018 untuk kunjungan orang ramai bagi melihat lebih dekat lagi produk makanan dari Singapura.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda