Oleh Nurdiyanah R.-
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat ke Upacara Perasmian Perkhidmatan bagi dua daripada empat buah pesawat C295MW baharu untuk Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) di Pangkalan Tentera Udara Rimba.
Perasmian perkhidmatan dua buah pesawat C295MW itu adalah berikutan dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke upacara ketibaan pesawat tersebut di Pangkalan Tentera Udara Rimba pada 24 Januari yang lalu.
Mengiringi keberangkatan Baginda Sultan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Keberangkatan tiba Baginda Sultan dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Pemerintah TUDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohd Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim.
Turut hadir ialah setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, pemerintah angkatan tentera, pemangku pemerintah-pemerintah angkatan tentera dan angkatan bersama ABDB, timbalan setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, pegawai-pegawai kanan ABDB dan delegasi daripada Syarikat Airbus Defence and Space yang diketuai oleh Head of Sales Air Power, Oscar Alonso.








Upacara dimulakan dengan Baginda Sultan dijunjung ke apron Hangar B, untuk menerima tabik hormat diraja dan seterusnya memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada 103 orang anggota TUDB dan Pancaragam ABDB yang diketuai oleh Ketua Kawalan Kehormatan, Mejar (U) Muhammad Izdihar bin Haji Imran.
Seterusnya, Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah perasmian perkhidmatan pesawat C295MW. Ini diikuti dengan bacaan Selawat dan Doa Selamat oleh Pengarah Jabatan Agama ABDB (JAMA’AT), Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim.
Sejurus itu, Baginda Sultan berkenan menandatangani plak sebagai tanda perasmian perkhidmatan pesawat-pesawat tersebut.
Baginda Sultan kemudian dijunjung melihat secara dekat kedua-dua pesawat berkenaan, yang diberi designasi TUDB 502 dan TUDB 503, dan diikuti dengan sesi junjung ziarah dan sembah kenal anggota-anggota pasukan projek yang terlibat dalam pengurusan projek perolehan pesawat yang terdiri daripada juruterbang dan kru-kru pesawat serta jurutera TUDB.
Baginda seterusnya dijunjung bagi sesi bergambar kenangan dan menerima pesambah sebelum dijunjung berangkat ke Pusat Pergerakan Udara.
Setibanya di Pusat Pergerakan Udara, Baginda Sultan disembahkan taklimat ringkas penerbangan dan keselamatan oleh Pegawai Memerintah Skuadron 15, Mejar (U) Mohammad Adieb bin Abdul Rahman, sebelum berkenan menaiki dan menerbangkan pesawat C295MW TUDB 502.
Setelah mendarat, Baginda Sultan seterusnya dijunjung bagi majlis santap tengah hari.
Sebelum berangkat meninggalkan Pangkalan Tentera Udara Rimba, Baginda dijunjung bagi menandatangani lembaran kenangan.
Upacara berkenaan diadakan bagi merasmikan keupayaan pesawat angkut TUDB yang tiba pada 24 Januari lalu.
Juruterbang dan kru-kru pesawat akan memulakan latihan di rantau Asia Tenggara sebagai persediaan sebelum ditugaskan dalam pelbagai misi strategik dan taktikal di peringkat serantau dan antarabangsa termasuk menjalankan operasi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Alam (HADR), Medical Evacuations (MEDEVAC), Aeromedical Evacuations (AE) serta Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR).
Pesawat-pesawat berkenaan juga berupaya untuk melaksanakan pelbagai peranan seperti pengangkutan anggota dan kargo, pengangkutan VIP, Freefall, Airborne Static Jumps dan Cargo Drop.

