Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan berkenan berangkat bagi merasmikan Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi’i bersempena 60 Tahun Institusi Fatwa Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pagi tadi.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin; dan Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku pengerusi bersama Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi’i.
Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi’i berlangsung selama dua hari bermula hari ini merupakan anjuran yang diterajui bersama oleh UNISSA dan Jabatan Mufti Kerajaan dengan kerjasama strategik dari pelbagai institusi dalam dan luar negara. Antara institusi yang terlibat ialah Fakulti Syariah, UNISSA; Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Malaysia; Akademik Pengajian Islam, Universiti Malaya, Malaysia; Majelis Ulama Indonesia; Universitas Islam Negeri, Sunan Ampel Surabaya; The World Islamic Science & Education University (Wise), Jordan dan Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar, Brunei Darussalam.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar dan diikuti bacaan ayat-ayat suci Al-Quran serta sembah alu-aluan daripada Rektor UNISSA.
Duli Yang Teramat Mulia kemudian berkenan mengurniakan sabda dan seterusnya menyempurnakan perasmian Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi’i dan pelancaran buku.
Majlis berkenaan turut menyaksikan pembentangan kertas perdana yang mengupas tema persidangan turut disampaikan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Sebelum berangkat balik, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung berangkat bagi menyaksikan buku-buku terbitan terbaharu Jabatan Mufti Kerajaan dan UNISSA.
Sebanyak 14 buah buku yang dilancarkan adalah himpunan fatwa berjilid yang menghimpunkan fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam dari tahun 1994 hingga 2023.
Buku tersebut diterbitkan setiap tahun bermula pada tahun 1994.
Di samping memberikan jawapan hukum, buku berkenaan secara tradisi mempunyai ciri-ciri penyebaran ilmu pengetahuan Islam yang ada kaitan dengan hukum yang disampaikan.
Ciri sedemikian menjadikan hukum yang diputuskan senang dihayati.
Manakala, sebanyak 13 buah buku yang diterbitkan oleh Pusat Penyelidikan dan Penerbitan, UNISSA termasuk buku-buku yang bertajuk Khazanah Mazhab Syafi‘i di Negara Brunei Darussalam; Mazhab Syafi‘i di Alam Melayu: Penyerasian Pemikiran Maqasidi dan Hukum-Hakam Masjid Terbiar dalam Perspektif Mazhab Syafi‘i di Negara Brunei Darussalam.
Persidangan berkenaan membawa tema Mazhab Syafi’i dalam Era Digital: Relevan dan Cabaran yang mana masyarakat era digital ialah sebuah masyarakat yang dapat menguasai kehidupan di alam maya dan alam fizikal.
Jika masyarakat 4.0 hanya mampu mengakses maklumat atau berbagai-bagai bentuk informasi di alam maya tetapi masyarakat 5.0 ini dapat menganalisis maklumat tersebut menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan hasil tersebut dikembalikan kepada manusia di ruang nyata dalam berbagai-bagai bentuk yang mengatasi kemampuan manusia.
Kesannya, proses ini akan memberikan nilai baharu kepada industri dan masyarakat yang sebelum ini adalah mustahil dilakukan oleh manusia.
Dengan adanya persidangan yang juga diadakan bersempena dengan Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2025 itu dihasratkan bagi membincangkan topik-topik kontemporari dan bersesuaian dengan tema persidangan ini bersempena dengan 60 tahun tertubuhnya Institusi Fatwa di Negara Brunei Darussalam.
Selain itu, sebuah kertas perdana, 12 kertas ucaptama serta sebanyak 108 pembentang selari dan seramai 203 peserta dari dalam dan luar negara iaitu Singapura, Indonesia dan Malaysia dimuatkan sepanjang persidangan berlangsung.