Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pro Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini, berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Pesta Konvo UBD 2024 di Perpustakaan Utama, UBD.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, Awang Muhammad Zulkhairi Jifli Jainuddin.
Semasa perasmian tersebut, Duli Yang Teramat Mulia berkenan merasmikan pelancaran Pelan Induk Kemampanan UBD, dokumen terperinci untuk membantu kakitangan universiti dan pelajar menggabungkan amalan kemampanan, penyelidikan, inovasi dan inisiatif yang selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat / Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan dijunjung menyaksikan pameran berkaitan Pelan Induk Kemampanan UBD yang dipandu oleh lima tonggak utama yang diketengahkan dalam pesta berkenaan serta pameran projek mahasiswa dan mahasiswi UBD.
Visi UBD melalui Pelan Induk Kemampanan bertepatan dengan Wawasan Brunei 2035 yang menekankan kepentingan kualiti hidup yang tinggi serta ekonomi yang berdaya maju dan mampan.
Di samping itu, komitmen pelan adalah untuk mengintegrasikan kemampanan dalam semua aktiviti universiti yang merangkumi operasi dan infrastruktur, pendidikan, serta penyelidikan, selaras dengan usaha memupuk budaya kemampanan yang akan mempersiapkan pemimpin masa depan dalam menghadapi cabaran global.
Di pesta konvokesyen bertema Kemampanan itu turut mempamerkan inisiatif serta projek penyelidikan UBD sejajar dengan SDG PBB dan Pelan Induk Kemampanan UBD.
Pesta Konvo 2024 turut mempamerkan kenderaan elektrik hasil kerjasama UBD dengan Oxgrin Sdn Bhd, iaitu sebuah anak syarikat milik Oxford Green Innotech yang berpusat di United Kingdom dan merupakan spin-off dari Universiti Oxford.
Pesta Konvo turut diisi dengan beberapa acara sampingan yang antaranya Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran yang akan diadakan pada 8 Ogos bagi meraikan bakal graduan UBD.
Majlis Konvokesyen UBD dijangka berlangsung pada 12 Ogos ini di Dewan Canselor, UBD.