Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-20 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis.
Berangkat sama pada majlis itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri
Bolkiah.
Pada majlis berkenaan, Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah sebagai tanda bermulanya Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-20 MMN.
Sebelum istiadat pembukaan rasmi, Persidangan MMN bersidang untuk meneliti dan mengesahkan Minit Persidangan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-19 MMN yang telah bersidang selama 18 hari bermula 2 hingga 28 Mac 2023.
Persidangan kemudiannya ditangguhkan bagi Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-20 MMN.
Persidangan MMN akan dipengerusikan oleh Yang Dipertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib dan dibantu oleh Jurutulis Majlis Mesyuarat Diraja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Dr Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah.
Persidangan pada tahun ini akan membincangkan dan meluluskan perkara utama iaitu Rang Undang-undang (2024) Perbekalan, 2024/2025, melalui tiga peringkat sebelum ia dapat diluluskan sepenuhnya dan diwartakan untuk diguna pakai bermula 1 April
2024.
Sesi Persidangan MMN akan disambung esok, bermula pada pukul 9:30 pagi dan dibukakan kepada orang awam yang berminat untuk melihat dan mendengarkan perbincangan dan perbahasan di dalam Dewan Persidangan MMN.
Ia juga boleh dihadiri oleh mana-mana institusi pendidikan yang berminat untuk memberikan pendedahan kepada penuntut-penuntut atau mahasiswa dan mahasiswi mengenai tatacara membincangkan sesebuah rang undang-undang di Negara Brunei
Darussalam.
Sehubungan itu, orang ramai yang berminat untuk menghadiri sesi persidangan dipohonkan bagi mematuhi beberapa peraturan dan garis pandu persidangan khususnya berkenaan dengan kod pakaian dan tatacara mema-suki Dewan Persidangan.
Bagi orang ramai yang memerlukan perkhidmatan peralihan bahasa, mereka boleh memohon kepada Urus Setia MMN ke-20 iaitu 24 jam sebelum ia diperlukan.
Rakaman persidangan harian juga boleh diikuti melalui saluran RTB Perdana dan RTB Sukmaindera pada pukul 9 malam bagi rakaman sesi pagi dan diikuti lagi pada pukul 11 malam bagi rakaman sesi petang.
Laporan harian juga boleh diakses melalui laman sesawang rasmi MMN iaitu www.majlis-mesyuarat.gov.bn dan www.councils.gov.bn.