Friday, March 21, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan rasmikan Mahrajan Hafl al-Takharruj UNISSA

    Oleh Yusrin Junaidi

    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Bagi meraikan para graduan yang bakal meraih segulung ijazah hasil dari kerja keras sepanjang pengajian dan memperolehi pengalaman pencerahan ilmu, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengadakan Mahrajan Hafl Al-Takharruj sempena Hafl Al-Takharruj ke-9 UNISSA.

    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri telah berkenan berangkat merasmikan Mahrajan Hafl al-Takharruj ke-9 UNISSA di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

    Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman selaku pengerusi Majlis UNISSA dan Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-9 UNISSA.

    Turut sama menjunjung keberangkatan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku timbalan pengerusi Majlis UNISSA.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan dijunjung bagi menyaksikan pameran Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-9 UNISSA di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas. – Gambar oleh Muiz Matdani
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan mengurniakan sabda perasmian semasa majlis tersebut.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung bergambar ramai bersama mahasiswa dan mahasiswi UNISSA.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan dijunjung bagi menyaksikan pameran Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-9 UNISSA.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung bergambar ramai bersama penerima-penerima pingat UNISSA 2019.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung melawat petak Pameran Pasukan Beruniform Baharu UNISSA.

    Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan mengurniakan sabda perasmian bagi Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-9 UNISSA.

    Sebelum dijunjung menyaksikan Galeri Pameran Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-9, Duli Yang Teramat Mulia telah berkenan menandatangani Lembaran Kenangan UNISSA.

    Galeri pameran kali ini mengetengahkan aktiviti-aktiviti dan program mahasiswa UNISSA serta peranan dan sumbangan mereka dalam kalangan masyarakat Brunei Darussalam melalui pelbagai aktiviti akademik, kokurikulum dan kemasyarakatan. Ini sejajar dengan maksud tema Mahrajan Hafl Al-Takharruj tahun ini iaitu ‘Memasyarakatkan Universiti’.

    Pemilihan tema tersebut adalah untuk menonjolkan sumbangan pelajar UNISSA dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035 yang memfokuskan rakyat yang aktif, berkemahiran tinggi dan berjaya, kehidupan rakyat yang berkualiti dan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.

    Antara pameran yang diberigakan ialah Pameran Pasukan Beruniform Baharu di UNISSA, Pameran Aplikasi Pendidikan Islam, Pameran Keusahawanan Pelajar UNISSA dan Pameran Keagungan Tanah Suci.

    Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan melancarkan buku-buku terbaharu terbitan UNISSA.

    UNISSA telah berjaya menerbitkan 27 buah buku baharu dalam pelbagai bidang hasil tulisan tenaga akademik tempatan dan luar negara dengan lapan buah buku dalam Bahasa Melayu, empat dalam Bahasa Inggeris dan enam dalam Bahasa Arab.

    Di samping itu, sembilan jurnal dan sebuah monograf juga telah diterbitkan.

    Buku-buku berkenaan dihasratkan akan menjadi bahan ilmiah dan sumber rujukan kepada para pelajar dan masyarakat awam dan akan dapat memperkaya lagi bahan bacaan yang telah sedia ada.

    Sebelum berkenan berangkat ke majlis santap, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menerima pesambah daripada Rektor UNISSA, berupa tulisan khat kaligrafi Islam dipetik daripada ayat Al-Quran.

    Pesambah tersebut adalah hasil rekaan Dayang Nurlina Shazlina binti Ali, mahasiswi Tahun 3 Fakulti Bahasa Arab UNISSA.

    Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan menerima junjung ziarah dan beramah mesra bersama para mahasiswa dan mahasiswi serta pensyarah-pensyarah UNISSA sebelum berangkat balik meninggalkan majlis berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda