Oleh Yusrin Junaidi –
TUTONG, 11 OGOS – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan, Pro-Canselor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pagi tadi berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-15 UNISSA di Kampus Sinaut, UNISSA, Daerah Tutong.
Tema Mahrajan Hafl Al-Takharruj tahun ini, Pembangunan Mampan Industri AgriHalal menonjolkan komitmen UNISSA dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan agenda pembangunan lestari negara melalui ilmu, penyelidikan dan inovasi dalam industri halal dan pertanian, dengan fokus menjamin sekuriti makanan, integriti halal serta memperkukuh industri pertanian negara.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota di Dewan Al-Rayyan, Kampus Sinaut, UNISSA dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohammad Salleh selaku Pengerusi Majlis UNISSA; dan Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-15 UNISSA.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar sebagai pembuka majlis.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan menyampaikan sabda perasmian dan menyaksikan tayangan video pelancaran Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-15 yang menekankan peranan UNISSA dalam memajukan pembangunan mampan industri AgriHalal melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan serta menangani cabaran global berkaitan keselamatan makanan dan integriti halal.





Selepas itu, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung untuk menandatangani lembaran kenangan perasmian majlis dan berangkat melawat pameran yang mempamerkan pelbagai hasil penyelidikan pelajar dari Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, Fakulti Pertanian dan Fakulti Teknologi Islam yang telah memenangi anugerah pertandingan inovasi antarabangsa.
Antara pameran menarik yang dilawati ialah projek pengenalpastian morfologi, meristik dan molekul ikan serta kerang-kerangan marin dan air tawar Brunei di Banglo Dar al-Kindi, diikuti projek akuarium menternak ikan hiasan sebagai pusat penetasan dan penyelidikan akuakultur UNISSA.
Duli Yang Teramat Mulia turut berkenan melawat kawasan penetasan ikan yang dibangunkan oleh Dr Mohammad Bodrul Munir dari Fakulti Pertanian, usaha pertama UNISSA dalam pembiakan ikan air tawar seperti tilapia, ikan keli, patin, karok dan kap, yang diyakini menyumbang kepada keselamatan makanan dan pembangunan industri akuakultur negara.
Pameran model penghasilan padi berkonsepkan pertanian bandar yang menggunakan bahan conditioner organik daripada najis ayam di kitar semula bagi menangani masalah tanah berasid turut menarik perhatian Duli Yang Teramat Mulia.
Turut dikunjungi ialah projek mini akuaponik di bawah penyeliaan Profesor Hamzah Mohd Salleh yang menggabungkan ternakan ikan dan penanaman sayur secara kitaran semula jadi, sesuai untuk dijalankan di halaman rumah dan berpotensi menjana pendapatan.
Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan melawat Banglo Dar al-Khawarizmi yang mempamerkan projek pengurusan pengairan berasaskan data cuaca bagi menentukan keperluan air tanaman padi secara efisien, serta projek SMART Fish Solar Dryer yang menggunakan tenaga suria dalam proses pengeringan ikan di Banglo Dar al-Haitham.
Projek fitoremediasi di rumah hijau yang bertujuan meningkatkan produktiviti tanah padi dengan menggunakan tanaman kangkung air bagi meneutralkan tanah tercemar logam berat juga dipersembahkan kehadapan Duli Yang Teramat Mulia.
Majlis diakhiri dengan perasmian Fakulti Sains Halal dan Pelancongan Mampan di Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, diikuti pelancaran 33 buah buku terbaharu terbitan UNISSA.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menerima pesambah daripada Majlis Perwakilan Pelajar UNISSA dan beramah mesra bersama tenaga akademik serta pelajar UNISSA.
Sepanjang Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-15 ini, pelbagai aktiviti diadakan termasuk Karnival Kerjaya, program Halal Green: e-Waste Management and Sustainable Campus, kelas pembuatan nougat halal serta Bazar Tani yang berlangsung di Gimnasium UNISSA dan kawasan sekitarnya.
Majlis ini dikendalikan bersama oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban dan Fakulti Pertanian, UNISSA, sebagai penghormatan kepada graduan yang menamatkan pengajian mereka, menjelang Majlis Konvokesyen UNISSA pada 21 Ogos nanti.

