Saturday, March 1, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan rasmikan Masjid An-Na’im

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat menunaikan Sembahyang Fardu Jumaat yang pertama di masjid baharu Rancangan Perumahan Negara Kampung Panchor Mengkubau sekaligus merasmikan pembukaannya.

    Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

    Hadir menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya dijunjung bagi menandatangani plak diiringi dengan laungan takbir ‘Allahu Akbar’ sebanyak tiga kali yang dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama sebagai petanda perasmian pembukaan masjid baharu tersebut, yang dikenali sebagai Masjid An-Na’im Kampung Panchor Mengkubau.

    Majlis seterusnya mendengarkan khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Penolong Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan menandatangani plak sambil diiringi laungan Takbir ‘Allahu Akbar’ sebanyak tiga kali sebagai petanda perasmian masjid baharu yang dikenali sebagai Masjid An-Na’im Kampung Panchor Mengkubau. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menunaikan Sembahyang Fardu Jumaat yang pertama di Masjid An-Na’im, Rancangan Perumahan Negara Kampung Panchor Mengkubau, kelmarin. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan berkenan menerima junjung ziarah sebelum berangkat meninggalkan Masjid An-Na’im. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan berkenan menerima junjung ziarah daripada para jemaah di masjid baharu Rancangan Perumahan Negara Kampung Panchor Mengkubau, kelmarin. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Para jemaah yang mendengarkan khutbah yang disampaikan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Pemandangan dari hadapan Masjid An-Na’im Rancangan Perumahan Negara Kampung Panchor Mengkubau. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Sementara Sembahyang Fardu Jumaat diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid An-Na’im Kampung Panchor Mengkubau, Awang Muhammad Saifullah bin Rosli.

    Masjid An-Na’im Kampung Panchor Mengkubau dibina di atas sebidang tanah berkeluasan lapan ekar menggunakan peruntukan di bawah Rancangan Kemajuan Negara dengan jumlah $4.3 juta.

    Keseluruhan kapasiti Masjid An-Na’im Kampung Panchor Mengkubau boleh menampung seramai kira-kira 2,500 orang jemaah. Antara kemudahan yang disediakan di masjid tersebut termasuk dewan sembahyang utama lelaki, dewan sembahyang perempuan, bilik kuliah, bilik perpustakaan, pejabat pentadbiran, bilik sistem PA, tandas dan tempat berwuduk lelaki, tandas dan tempat berwuduk perempuan, tandas orang kelainan upaya (OKU) lelaki dan perempuan, bilik pengurusan jenazah, stor dan tempat letak kereta.

    Dengan pembukaan Masjid An-Na’im Kampung Panchor Mengkubau yang dilengkapi pelbagai kemudahan bagi memenuhi keperluan para penduduk kampung khususnya, dan masyarakat amnya, dihasrat dapat memberi keselesaan kepada para jemaah untuk menunaikan sembahyang fardu lima waktu dan Sembahyang Fardu Jumaat.

    Di samping melaksanakan amal ibadat, pembinaan masjid baharu ini juga adalah untuk melaksanakan program keagamaan dan kerohanian bertujuan meningkatkan dan mengembangkan syiar Islam yang secara tidak langsung menyerlahkan lagi perkembangan Perkhidmatan Ugama, di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda