Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan rasmikan Masjid As-Salaam

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat ke Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan bagi menunaikan sembahyang Fardu Jumaat yang pertama di masjid berkenaan.

    Hadir menjunjung keberangkatan Baginda Sultan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Berangkat sama ialah paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

    Sejurus keberangkatan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menandatangani plak dan diiringi dengan laungan takbir ‘Allahu Akbar’ sebanyak tiga kali yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin, sebagai petanda perasmian pembukaan masjid baharu tersebut.

    Majlis diteruskan dengan khutbah Jumaat disampaikan oleh Pemangku Pengarah Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali, sementara sembahyang Fardu Jumaat diimamkan oleh Pegawai Masjid, Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan, Haji Hayrul bin Haji Hakim.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menandatangani plak dan diiringi dengan laungan takbir ‘Allahu Akbar’ sebanyak tiga kali semasa berangkat ke Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan bagi menunaikan sembahyang Fardu Jumaat yang pertama di masjid berkenaan, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan berkenan dijunjung bergambar ramai bersama para jemaah masjid. Turut berangkat sama DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menunaikan sembahyang Fardu Jumaat di Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan, kelmarin. Turut berangkat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan dibina dengan memakan belanja berjumlah $5.2 juta di atas sebidang tanah berkeluasan lebih kurang tiga ekar dan pembinaan masjid baharu ini dimulakan dengan mendirikan tiangnya pada 18 Jun 2022.

    Masjid berkenaan merupakan masjid ketiga menggunakan peruntukan perbelanjaan dari Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam.

    Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan mempunyai kapasiti untuk menampung lebih kurang 1,600 orang jemaah. Pelbagai kemudahan disediakan untuk memastikan keselesaan semua pengunjung seperti tandas dan tempat berwuduk termasuk tandas dan tempat berwuduk untuk orang kelainan upaya (OKU).

    Selain itu, masjid tersebut dilengkapi dengan bilik serba guna, bilik pengurusan jenazah dan tempat letak kereta termasuk tempat letak kereta khusus untuk OKU.

    Dengan pembukaan masjid tersebut dapat memberi keselesaan kepada penduduk kampung dan jemaah yang menunaikan sembahyang fardu lima waktu dan sembahyang Fardu Jumaat.

    Ia juga dihasrat untuk digunakan oleh para penduduk untuk melakukan kegiatan serta aktiviti keagamaan bagi meningkatkan dan mengembangkan syiar Islam di kampung tersebut dan di negara ini amnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda