Berkenan rasmikan musabaqah belia Asia Tenggara ke-9

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini, telah berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara ke-9 yang berlangsung selama tiga hari di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

Ketibaan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berserta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara ke-9, 1441H/2019M.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan antara lain menyembahkan bahawa penyertaan belia dalam musabaqah berkenaan sungguh memberangsangkan yang jelas memperlihatkan komitmen tinggi negara-negara Asia Tenggara untuk menyumbangkan tenaga dalam majlis yang berkebajikan berkenaan sekali gus membuktikan bahawa jalinan silaturahim di peringkat serantau boleh dipereratkan melalui amal ibadat.

Apa yang turut penting, tambah beliau, musabaqah berkenaan juga merupakan landasan yang amat bernilai untuk meningkatkan lagi mutu bacaan Al-Quran yang seterusnya dapat menyebarkan syiar suci agama Islam, khususnya dalam kalangan belia dengan adanya acara-acara keagamaan seperti inisiatif murni yang diilhamkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ke Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
ATAS & BAWAH: Antara qari dan qariah yang memperdengarkan bacaan masing-masing pada malam pertama Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara ke-9, malam tadi.

Antara yang hadir menyaksikan malam pertama musabaqah berkenaan.

Selain itu, ukhuwah Islamiah dalam kalangan belia Asia Tenggara akan diperkukuhkan lagi di samping mengeratkan silaturahim yang sedia terjalin di kalangan warga serantau, terutamanya yang beragama Islam.

Seramai 22 orang qari dan qariah menyertai musabaqah dengan dengan enam peserta memperdengarkan bacaan mereka pada malam pertama.

Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara yang merupakan anjuran kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang diadakan setiap dua tahun sekali dengan menjemput penyertaan belia-belia Islam yang berumur 15 hingga 30 tahun dari negara-negara rantau Asia Tenggara iaitu Kemboja, Republik Indonesia, Republik Demokratik Rakyat Laos, Malaysia, Republik Kesatuan Myanmar, Republik Filipina, Republik Singapura, Republik Sosialis Rakyat Vietnam, Thailand dan Negara Brunei Darussalam. Turut dijemput ialah penyertaan daripada Republik Demokratik Timor Leste.

Negara Brunei Darussalam diwakili oleh johan qari dan qariah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 2019 anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan iaitu Awang Abdull Mu’in bin Haji Abdul Hamid dan Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki.

Inisiatif kerajaan ini telah mendapat sambutan negara-negara ASEAN dan Republik Demokratik Timor Leste yang menjadi kebanggaan negara kerana berupaya melakar satu program serantau yang memberikan kesannya terhadap belia-belia di rantau ini antaranya memupuk dan menyemai persahabatan dan persaudaraan serta jaringan kerjasama belia-belia Asia Tenggara di samping membantu meninggikan mutu pembacaan Al-Quran dalam kalangan belia-belia Asia Tenggara serta menghubungkan kesinambungan mutu bacaan dari peringkat belia dan seterusnya ke peringkat dewasa sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.