Friday, September 13, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan rasmikan Pesta Konvo UTB ke-9

    Oleh Salawati Haji Yahya –
     
    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Pro-Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), berkenan berangkat merasmikan Pesta Konvo UTB ke-9 2024 yang berlangsung di Bangunan Fakulti Kejuruteraan, UTB, kelmarin.
     
    Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pembangunan selaku Pemangku Menteri Pendidikan dan Pemangku Pengerusi Majlis UTB, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dan Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.
     
    Turut hadir di Pesta Konvo UTB itu, pihak kedutaan dan pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi negara-negara ASEAN di negara ini dan Timor-Leste, ahli-ahli Majlis UTB, pegawai-pegawai kanan kerajaan, staf dan para pelajar UTB.
     
    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang diketuai oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
     
    Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan mengurniakan sabda perasmian, disusuli dengan laungan takbir dan tayangan multimedia.
     
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menerima pesambah daripada pelajar Majlis Perwakilan Pelajar UTB. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan mengurniakan sabda perasmian Pesta Konvo UTB ke-9. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan mendengarkan sembah penerangan semasa pesta tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara persembahan yang diadakan semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan menyaksikan pameran Pesta Konvo ke-9 yang bertemakan Towards a Green and Sustainable Future: A Confluence of Creativity and Innovation, yang menekankan komitmen UTB terhadap tanggungjawab alam sekitar melalui amalan akademik yang inovatif.
     
    Tema itu turut menekankan bagaimana graduan UTB bersedia untuk memberi impak yang besar dalam kerjaya mereka dengan menggunakan dan memajukan teknologi mesra alam dan kaedah mampan yang telah dikuasai semasa pengajian mereka.
     
    Pendekatan itu juga mengukuhkan kedudukan UTB sebagai perintis dalam memupuk etos kemapanan dan inovasi, menggalakkan alumni melangkaui had kemungkinan dalam membina masa depan yang lebih sedar alam sekitar serta mampan.
     
    Pameran tersebut menampilkan lima projek pelajar yang mengintegrasikan kreativiti dengan penyelesaian yang mampan.
     
    Seterusnya, Duli Yang Teramat Mulia berkenan meninjau gerai pameran Permodalan Penapis Pasir Berangka dan Makmal Kemudahan, projek kerjasama dengan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) yang mempamerkan kemajuan teknologi simulasi dalam kejuruteraan alam sekitar.
     
    Selain itu, Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan menyaksikan Pameran Tekstil Tradisional ASEAN yang memaparkan sumbangan daripada negara anggota ASEAN dan Timor-Leste.
     
    Pesta konvokesyen turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan oleh kelab pelajar universiti, termasuk tarian tradisional Brunei, seni mempertahankan diri dan pameran budaya global, mencerminkan kehidupan komuniti universiti. 
     
    Komitmen UTB terhadap pembangunan pelajar yang holistik turut diketengahkan melalui 45 kelab kokurikulum yang memupuk kemahiran dalam kepimpinan, kerja berpasukan dan komunikasi.
     
    Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menerima pesambah daripada Majlis Perwakilan Pelajar UTB bertemakan Map of Brunei dan diikuti sesi bergambar ramai bersama ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar UTB 2024/2025.
     
    Pesta konvokesyen berkenaan diadakan setiap tahun bagi meraikan para pelajar yang berjaya menamatkan pengajian dan bakal menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen UTB yang akan berlangsung pada 7 September 2024 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda