Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini berkenan berangkat menyaksikan Eksesais SUNDA PATROL 2023 bertempat di Kawasan Latihan B, Hutan Simpan Andulau, Sungai Liang, Kuala Belait.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Pusat Pergerakan Udara, Pangkalan Tentera Udara Rimba dijunjung oleh Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin.
Turut menjunjung keberangkatan ialah Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei, Brigedier Jeneral Haji Mohammad Shanonnizam bin Sulaiman; Pengarah Perisikan, Kementerian Pertahanan, Kolonel (U) Haji Mohammad Muluddin bin Haji Latif; dan Penasihat Pertahanan United Kingdom (UK) ke Negara Brunei Darussalam, Kapten Jonathan Caple, Royal Navy (RN), sebelum berangkat ke kawasan latihan dengan menaiki pesawat helikopter Puma Skuadron 230 Tentera Udara Diraja, Angkatan Tentera British.
Duli Yang Teramat Mulia berserta rombongan mendarat di Tapak Pendaratan Empangan Kargu dan dijunjung oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe dan Pemerintah Angkatan Tentera British di Negara Brunei Darussalam (BFB), Leftenan Kolonel Hugo Stanford-Tuck.
Sejurus keberangkatan tiba di Empangan Kargu, Duli Yang Teramat Mulia telah disembahkan taklimat mengenai Eksesais SUNDA PATROL 2023 dan latihan secara langsung menyusuri sungai yang disembahkan oleh Pegawai Memerintah Kompeni Bantu, Batalion Pertama Royal Gurkha Rifles (Support Company 1RGR), Mejar Som Thulung dan seterusnya berkenan menyaksikan latihan secara langsung menyusuri sungai. Duli Yang Teramat Mulia kemudian berkenan dijunjung untuk sesi bergambar ramai.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan berangkat menaiki kenderaan pacuan empat roda melalui jalan darat ke Jungle Base Camp.
Setibanya di kawasan latihan, Duli Yang Teramat Mulia disembahkan dengan kalungan Maala dan taklimat pengenalan mengenai BFB oleh Pemerintah BFB.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan membuat lawatan ke pameran Jungle Survival. Semasa di pameran Jungle Survival, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung bagi menyampaikan sijil penghargaan kepada para penganjur eksesais dan juga dijunjung untuk sesi bergambar ramai.
Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan dijunjung bagi Majlis Santap Tengah Hari di kawasan latihan sebelum berangkat meninggalkan kawasan latihan.
Hadir untuk Majlis Santap Tengah Hari adalah Pemerintah 4 Brigade Angkatan Tentera British, Brigedier Rob Singleton dan para penasihat serta atase-atase pertahanan yang menetap di Negara Brunei Darussalam.
Setelah majlis santap, Duli Yang Teramat Mulia berkenan dijunjung untuk menandatangani Buku Tetamu VVIP dan berkenan bagi menerima pesambah diikuti dengan sesi bergambar ramai.
Eksesais SUNDA PATROL 2023 adalah pertandingan rondaan yang dianjurkan oleh BFB buat julung kalinya bermula dari 2 hingga 6 Oktober untuk mencabar kemahiran pasukan-pasukan Angkatan Tentera British daripada Divisyen Pertama UK dalam kemahiran ikhtiar hidup, rondaan rutin, operasi sungai dan Tinjauan Sasaran Dekat dan Sungai di persekitaran hutan atau Close Country Tropical Environment (CCTE).
Pada tahun hadapan, eksesais tersebut dirancang untuk diperkembangkan dengan penyertaan pasukan-pasukan antarabangsa yang diundang.