Oleh James Kon –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan menyaksikan perlawanan bola keranjang antara pasukan Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) dan pasukan Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI) bagi Kategori Perempuan Bawah 18 tahun (B-18) pada Kejohanan Bola Keranjang antara Sekolah AEWON PPE ketiga 2025, kelmarin.
Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah. Turut hadir, Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman bin Pengiran Haji Damit dan Suzanne Rahaman Aeby.
Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah yang mewakili pasukan ISB, juga mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut yang diadakan di Gelanggang Bola Keranjang Persatuan Bola Keranjang Brunei (BBA).
Pasukan ISB berjaya mencatat kemenangan bergaya 84-3 ke atas pasukan STPRI.
Perlawanan turut menyaksikan YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah mewakili ISB menyumbang 10 mata dalam kemenangan berkenaan. Rakan sepasukan Ashlee, muncul penjaring terbanyak dengan 18 mata, manakala Khobe menambah 15 mata.
Dengan rekod tanpa kalah dalam Kumpulan B, pasukan ISB melayakkan diri ke peringkat separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada 3 September.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, pasukan CHMS BSB menewaskan pasukan St George dengan keputusan 52-26 sekali gus menempah slot ke separuh akhir.



