Oleh James Kon –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan berangkat menyaksikan perlawanan Liga Super Malaysia antara DPMM FC menentang Kelantan The Real Warriors (TRW) FC, di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, malam ini.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
Pada perlawanan itu, DPMM FC mengalami kekalahan 2-1 kepada Kelantan TRW FC dan kekal di tangga tercorot Liga Super Malaysia.
DPMM FC memulakan perlawanan dengan bertenaga dan meyakinkan, hampir membuka jaringan pada dua kesempatan awal.
Pada minit ke-24, percubaan Nazirrudin Haji Ismail berjaya dihadang oleh penjaga gol Kelantan, Muhammad Azfar Arif. Enam minit kemudian, penyerang DPMM FC, Muhammad Ramadhan Sananta, mensia-siakan peluang keemasan apabila gagal menyudahkan hantaran mudah di depan gawang pelawat. Kesilapan itu akhirnya membawa padah kepada DPMM FC.
Pada minit ke-36, Kelantan TRW membuka tirai jaringan menerusi Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi. Percubaannya dari jarak dekat sempat ditepis penjaga gol DPMM FC, Muhammad Haimie Abdullah Nyaring, namun bola tetap melepasi garisan gol.


Lima minit selepas itu, pada minit ke-41, Haimie sekali lagi tidak mampu berbuat apa-apa apabila rembatan deras jarak jauh Muhammad Nor Azam Abdul Azih tepat menuju ke penjuru atas gawang, sekali gus menggandakan kelebihan Kelantan.
Selepas rehat, DPMM FC mula menguasai permainan untuk merapatkan jurang dan usaha mereka berhasil apabila pemain pertahanan import dari Brazil, Jordan De Paula Rodrigues, muncul sebagai penjaring tidak dijangka pada minit ke-52.
Rodrigues mudah membolosi bola dari sudut jauh hasil hantaran lintang Miguel Oliviera, sekali gus menghidupkan peluang tuan rumah untuk bangkit.
Pada minit ke-80, Muhammad Ramadhan Sananta hampir menyamakan kedudukan menerusi tandukan, namun percubaannya berjaya diselamatkan oleh Muhammad Azfar.
Drama berlanjutan ke masa tambahan apabila pengadil memberikan sepakan penalti kepada DPMM FC selepas semakan VAR.
Namun, peluang terbaik itu gagal dimanfaatkan apabila sepakan penalti Muhammad Ramadhan Sananta sekali lagi ditepis kemas oleh Muhammad Azfar, yang muncul wira Kelantan TRW pada malam penuh mendebarkan itu. Perlawanan seterusnya DPMM FC akan berdepan Melaka FC pada 30 September ini di Stadium Hang Jebat, Melaka.

