Oleh Hasrulraizan
Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah hari ini berkenan berangkat menyaksikan Kejohanan Renang Terbuka dan Masters Brunei kali ke-7, 2018 di Kompleks Renang Kebangsaan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Turut berkenan menyertai kejohanan itu ialah anakanda Duli Yang Teramat Mulia, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dalam acara 50 Meter Kuak Kupu-kupu Lelaki Tujuh Tahun ke Atas dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah bagi acara 50 Meter Kuak Kupu-kupu Perempuan Tujuh Tahun ke Atas.
Berangkat sama menyaksikan kejohanan berkenaan ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman.



YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim yang mewakili Kelab Rekreasi Diraja Brunei berjaya mencatat masa 44.82 saat, sementara YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah yang mewakili ISB Hammerheads mencatat 1:3.12 minit sekali gus berjaya memecahkan rekod peribadi sebelum ini, 1:14.97 minit.
Menjunjung keberangkatan tiba DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.