Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, kelmarin berkenan berangkat menyaksikan persembahan muzikal, The InfluencHER di Pusat Kesenian, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS).
Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’
Raihaanul Bolkiah.
The InfluencHER dianjurkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dengan kerjasama Relentless Entertainment dan Academy of Performing Arts bersempena Hari Menabung Kebangsaan 2023.
Produksi muzikal berkenaan bertujuan untuk menghiburkan dan mendidik mengenai literasi kewangan menerusi lagu dan tarian.
Diilhamkan daripada buku dan filem, Confessions of a Shopaholic oleh Sophie Kinsella, persembahan itu berkisar mengenai Aisha Ali yang dilakonkan oleh Khalisa Mutalib, yang ingin beraspirasi menjadi pempengaruh media sosial di mana beliau mengemudi melalui percintaan, kerjaya dan cinta sejatinya iaitu membeli-belah.
Muzikal The InfluencHER telah mula dipentaskan pada 4 Ogos dengan persembahan turut diadakan pada 5, 6, dan 11 hingga 13 Ogos.