Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat menyaksikan acara pembukaan Piala Badminton CHSK 2021 bertempat di Gelanggang Badminton CHSK, Kiudang, hari ini.
Kejohanan tersebut diadakan bersempena meraikan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-75.
Berkenan menyertai kejohanan tersebut ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim bagi kategori beregu lelaki bergandingan dengan Dessen Chung Min Tin dan mewakili pasukan Flying Gravity (Waznah).
Antara pasukan yang menyertai kejohanan piala pelajar tersebut termasuk pasukan Yuniku, AIA BR-Kelvin Pong, CHMSKB dan RHTS.
Piala Pelajar menyaksikan beberapa kategori dipertandingkan termasuk beregu lelaki (berumur 19 tahun dan ke bawah), beregu wanita (berumur 19 tahun dan ke bawah), beregu lelaki (berusia 15 hingga 18 tahun), beregu wanita (berusia 15 hingga 18 tahun), beregu lelaki (berusia 14 tahun dan ke bawah), beregu wanita (berusia 14 tahun dan ke bawah) dan beregu campuran (berusia 19 tahun dan ke bawah).
Perlawanan berperingkat kumpulan dilangsungkan hari ini dan akan disambung minggu hadapan.
Manakala pusingan seterusnya iaitu peringkat separuh akhir pula akan diadakan pada 18 Julai dan pusingan akhir akan diadakan pada 25 Julai nanti.
Kejohanan yang berlangsung selama empat minggu ini disokong oleh Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Badan Kemajuan dan Kreatif (BKK) Daerah Tutong.