Oleh James kon –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat menyaksikan perlawanan akhir Piala FA Brunei 2025 antara pasukan DPMM FC dan Indera SC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, malam tadi.
Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.
DPMM FC dinobatkan juara Piala FA Liga Super Brunei 2025 selepas menewaskan Indera SC 1-0 pada perlawanan akhir.
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim yang merupakan sebahagian daripada skuad DPMM FC berkenan menerima trofi bersama Kapten Marcelo Junior De souza Loiola daripada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota.
Perlawanan tersebut menyaksikan gol tunggal perlawanan dijaringkan pada minit ke-74 menerusi tandukan Luis Matias Fernandez hasil sepakan sudut Kenshin Ueno, sekali gus memastikan kemenangan mutlak buat DPMM FC.
DPMM FC hampir membuka jaringan pada babak pertama apabila hantaran lintang Abdul Aziz Ali Rahman disambut oleh Muhd Haziq Naqiuddin Syamra di dalam kotak penalti, namun percubaan itu tersasar.
Indera SC pula hampir mencipta kejutan sebelum tamat babak pertama menerusi rembatan jarak jauh Muhammad Aimmil Rahman yang sedikit tinggi melepasi palang.
Penjaga gol DPMM FC, Muhammad Jefri Syafiq Ishak, turut mencuri tumpuan selepas menghalang dua sepakan daripada pemain import Indera SC, Kashim Elisha Oluwasegu dan Leon Sullivan Taylor.
Sementara itu, Luis Matias Fernandez dinobatkan pemain terbaik perlawanan akhir dan menerima anugerah penjaring terbanyak.
Indera SC menduduki tempat kedua manakala tempat ketiga disandang oleh MS ABDB.