Saturday, May 3, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan saksikan perlawanan bola sepak

    Oleh Fadhil Yunus –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MEI – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, berkenan berangkat menyaksikan perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) 2024/2025 antara DPMM FC dan Tanjong Pagar United FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah di Berakas malam ini.

    Berangkat sama ialah Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Hakeem; Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammad Al-Mokhtar dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul ‘Ali Yil-Kabier.

    Dalam perlawanan tersebut, DPMM FC mencatat kemenangan 2-1 ke atas Tanjong Pagar United FC, sekali gus memperbaharui harapan mereka untuk menamatkan saingan dalam kelompok lima pasukan terbaik SPL.

    Kemenangan itu menyaksikan DPMM FC mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan berturut-turut dan kini hanya ketinggalan satu mata di belakang Albirex Niigata (S) yang menghuni tangga kelima, membuka peluang untuk mencabar kedudukan itu.

    Walaupun mengalami kesulitan pada awal musim, pasukan Brunei yang kini berada dalam prestasi cemerlang tidak pernah kalah sejak 26 Februari lalu.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa berkenan berangkat menyaksikan perlawanan tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Pasukan DPMM FC menang 2-1 kepada Tanjong Pagar United dalam perlawanan SPL 2024/2025 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Penyerang import Davis Ikaunieks terus menunjukkan aksi cemerlang apabila meledak dua gol dalam tiga perlawanan terakhir dan lapan gol dalam lapan perlawanan terakhir sejak menyertai kelab pada Januari.

    Selepas sembilan minit, pemain Latvia itu membuka tirai jaringan dengan gol pertama dan tidak lama kemudian pada minit ke-30, dia sekali lagi menjaringkan gol kedua.

    Namun, malang bagi Tanjong Pagar United apabila pemain pertahanan Syed Akmal dilayangkan kad merah pada minit ke-61, menyebabkan mereka terpaksa bermain dengan 10 orang.

    Bagaimanapun, pasukan lawan berjaya merapatkan kedudukan apabila pemain gantian Sahil Suhaimi meledak gol sembilan minit sebelum tamat perlawanan hasil bantuan daripada Zenivio Morientes.

    Keputusan pengadil yang menangguhkan pengesahan sama ada gol itu sah atau tidak mencipta ketegangan, tetapi akhirnya memutuskan untuk memberikan sepakan sudut kepada pasukan lawan.

    Walaupun begitu, DPMM FC berjaya menangkis percubaan terakhir dengan beberapa sepakan sudut berturut-turut yang gagal dimanfaatkan oleh pasukan lawan, sekali gus memastikan kemenangan itu kekal milik tuan rumah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda