Oleh James Kon –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat menyaksikan perlawanan Liga Super Malaysia antara DPMM FC menentang Kuala Lumpur City FC, di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, malam ini.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Dalam perlawanan tersebut, DPMM FC terpaksa akur apabila tewas 0-4 kepada Kuala Lumpur City FC di laman sendiri.
Pasukan tuan rumah turun tanpa penjaga gol Macedonia, Kristijan Naumovski dan pemain sayap Miguel Oliveira yang mengalami kecederaan pangkal paha, meskipun Oliveira sempat beraksi sebagai pemain gantian pada babak kedua.
DPMM FC hampir membuka tirai jaringan seawal minit kedua namun percubaan Jordan Murray berjaya diselamatkan penjaga gol Kuala Lumpur City, Quincy Julian Kammeraad.



Lapan minit kemudian, penjaga gol DPMM FC, Muhammad Haimie Abdullah Nyaring, pula cemerlang menafikan percubaan jarak dekat Muhammad Safawi Rasid.
Namun, gawang tuan rumah akhirnya dibolosi pada minit ke-25 apabila hantaran ke belakang oleh Pengiran Yura Indera Putera tersasar dan menghasilkan gol sendiri untuk mendahului Kuala Lumpur City.
Selepas rehat, pasukan pelawat mula menguasai permainan dengan corak hantaran lebih kemas yang membuka ruang serangan. Victor Ruiz Abril menambah jaringan pada minit ke-56 menerusi rembatan deras hasil gerakan pasukan yang tersusun.
Safawi Rasid kemudian menutup peluang kebangkitan DPMM FC dengan dua gol pada minit ke-64 dan ke-85, sekali gus mengesahkan kemenangan bergaya 4-0 untuk Kuala Lumpur City.
Dengan kekalahan itu, DPMM FC kini berada di tangga tercorot liga dengan hanya satu mata serta rekod bolos tertinggi. Perlawanan seterusnya DPMM FC akan berdepan Kelantan The Real Warriors FC pada 26 September ini di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

