Sunday, May 11, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan saksikan perlawanan bola sepak

    Oleh Fadhil Yunus – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini berkenan berangkat ke perlawanan Liga Belia Bawah 20 Tahun (B20) Persatuan Bola Sepak Negara Brunei Darussalam (FABD) 2023 antara DPMM FC dan Setia Perdana di Stadium Mini Jerudong Park di Jerudong.

    Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.

    Yang Teramat Mulia Pengiran Muda `Abdul Muntaqim tampil sebagai kapten pasukan DPMM FC B20 dalam kemenangan 1-0.

    Penyerang DPMM FC B20, Awangku Hadi Aiman ​​bin Pengiran Hamizal menjaringkan gol penentu pada minit ke-88 bagi memastikan pasukan mereka mencatatkan kemenangan keempat berturut-turut dalam liga.

    Pasukan Gegar Gegar Muda hampir membuka jaringan selepas Adrian Zizry Nur Khairi menghalakan tandukannya ke arah gawang yang membimbangkan penjaga gol Setia Perdana, tetapi pertahanan pasukan pelawat berjaya membawa bola ke tempat selamat.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), kelmarin, berkenan berangkat ke perlawanan Liga Belia Bawah 20 Tahun Persatuan Bola Sepak Negara Brunei Darussalam (FABD) 2023 yang disertai YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim mewakili DPMM FC menentang Setia Perdana di Stadium Mini Jerudong Park di Jerudong. Berangkat sama ialah YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan YTM Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah. – Gambar oleh Infofoto
    YTM Pengiran Muda `Abdul Muntaqim berkenan bergambar ramai bersama rakan sepasukannya di Stadium Mini Jerudong Park di Jerudong kelmarin. – Gambar Infofoto

    Pasukan DPMM FC yang belum pernah tewas mencipta peluang pertama yang jelas dalam permainan itu apabila Akram Waqeel Bakri yang diberi peluang bermain selepas penampilan mengagumkan dalam kemenangan 3-0 ke atas FC Phosphor pada perlawanan terakhir, menguji penjaga gol Setia Perdana de-ngan rembatan kencang.

    Pertahanan Setia Perdana bagaimanapun mampu mematahkan serangan penyerang DPMM FC dengan memintas kebanyakan hantaran dan tidak membenarkan mereka mendekati gawang.

    Pasukan pelawat hampir mendahului kedudukan dengan serangan mengejut tetapi penjaga gol DPMM FC mampu melakukan penyelamatan dan memaksa bola keluar untuk sepakan penjuru.

    Penyokong Setia Perdana menyangka pasukan mereka telah mendahului permainan namun sepakan pemain itu terkena jaring tepi gawang yang melegakan pertahanan DPMM FC.

    Semasa penghujung permainan semakin hampir, Awangku Hadi Aiman berjaya mengatasi pemain lawannya sebelum membuat hantaran kepada rakan sepasukan yang melakukan rembatan namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Setia Perdana. Bagaimanapun, Awangku Hadi Aiman ​​berada di tempat dan masa yang tepat untuk menjaringkan gol rebound, sekali gus membangkitkan kegembiraan dalam kalangan penyokong di laman sendiri.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda