Saturday, October 19, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan saksikan perlawanan bola sepak

    Oleh Fadhil Yunus –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, berkenan berangkat menyaksikan perlawanan Liga Perdana Singapura di antara DPMM FC dan Young Lions di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, malam tadi.

    Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik serta kerabat diraja.

    Dalam perlawanan tersebut, DPMM FC terpaksa akur dengan kekalahan 0-3 kepada Young Lions sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah Brunei DPMM FC yang merupakan yang pertama di laman sendiri sejak mereka merangkul gelaran juara liga pada 18 September 2019.

    Young Lions, yang menikmati kemenangan kelima mereka musim ini, kini berkongsi mata dengan DPMM FC yang kekal di tangga keenam liga. Lebih mengecewakan, kekalahan tersebut merupakan kali kedua dalam tiga pertemuan antara kedua-dua pasukan, selepas DPMM FC tewas dengan keputusan yang sama pada pertemuan sebelum ini.

    Perlawanan tersebut menyaksikan gol pembukaan menerusi penyerang Young Lions dari Jepun, Itsuki Enomoto, yang melakukan rembatan rendah dari sudut sempit, menewaskan penjaga gol Brunei DPMM FC, Haimie Abdullah Nyaring. Gol tersebut memberikan pasukan pelawat keyakinan untuk menguasai baki perlawanan.

    Tindakan taktikal ketua jurulatih Young Lions, Nazri Nasir, terbukti berkesan apabila pemain gantian, Fairuz Fazli, menambah jaringan kedua pasukan di minit ke-69 selepas menerima umpanan Enomoto. Tidak lama kemudian, Fairuz sekali lagi menjadi pencetus kepada jaringan ketiga Young Lions apabila hantarannya ditanduk masuk oleh Enomoto, sekali gus memuktamadkan kemenangan pasukan pelawat.

    DPMM FC berusaha keras untuk sekurang-kurangnya menembusi gawang lawan, namun usaha penyerang utama, Julio Cruz, gagal memberikan impak apabila percubaannya diselamatkan oleh penjaga gol Young Lions, Aizil Yazid.

    Kekalahan itu meletakkan DPMM FC terus terperangkap di tangga keenam liga, berkongsi mata dengan Young Lions tetapi dipisahkan oleh perbezaan gol. Skuad kendalian Jamie McAllister itu kini perlu memikirkan strategi baharu menjelang perlawanan seterusnya untuk mengelak daripada terus ketinggalan dalam saingan liga.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa berkenan berangkat menyaksikan perlawanan tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Turut berangkat menyaksikan perlawanan tersebut ialah YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan YTM Pengiran Muda Muhammad Aiman. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara aksi para pemain pada perlawanan tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda