Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat menyaksikan perlawanan Liga Super Brunei (BSL) 2024/2025 di antara DPMM FC dan Lun Bawang FC yang berlangsung di Stadium Mini Jerudong Park di Jerudong malam tadi, yang mana anakanda, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim turut beraksi dan memimpin DPMM FC sebagai kapten pasukan.
Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.
Perlawanan tersebut menyaksikan DPMM FC mencatatkan kemenangan besar 12-1.
DPMM FC, salah satu pasukan yang sedang dalam prestasi terbaik dalam liga, telah membuktikan diri mereka sebagai pencabar kejuaraan selepas meraih tiga mata lagi.
Pasukan yang berpangkalan di Jerudong itu mengumpul 15 mata penuh setakat ini selepas mencatatkan kemenangan kelima berturut-turut, menyamakan kedudukan mereka dengan Kasuka FC dan Kota Ranger FC.