BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – DPMM FC meneruskan saingan Liga Super Malaysia 2025/2026 dengan kekalahan 0-5 kepada Terengganu FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, malam ini.
Berangkat menyaksikan perlawanan tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.
Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman serta Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.
Skuad tuan rumah dikejutkan seawal minit pertama apabila rembatan pemain import Brazil, Raianderson, menembusi gawang DPMM FC.
Pasukan pelawat terus menambah jaringan menerusi pemain import Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov pada minit ke-16.



Memasuki babak kedua, harapan DPMM FC untuk bangkit semakin tipis selepas Raianderson meledak gol keduanya melalui sepakan penalti pada minit ke-74, menjadikan kedudukan 0-3.
Terengganu FC menambah derita tuan rumah pada minit ke-86 hasil jaringan pemain import Perancis, Yann Mabella, sebelum Syahmi Zamri melengkapkan pesta gol pada minit ke-92 masa tambahan.
Perlawanan berakhir dengan keputusan 0-5 memihak kepada Terengganu FC.
Dengan keputusan itu, DPMM FC kini berada di tangga ke-12 liga dengan hanya satu mata daripada tiga perlawanan.
DPMM FC akan berdepan Melaka FC dalam aksi seterusnya Liga Super Malaysia 2025/2026 yang dijadualkan berlangsung pada 30 September di Stadium Hang Jebat, Melaka.

