Oleh Salawati Haji Yahya & Sim Y.H
Gambar Muiz Matdani & Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, telah berkenan bercemar duli ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.
Keberangkatan Baginda Sultan serta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku timbalan pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; timbalan Pengerusi dan ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan. Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua dalam sembah alu-aluannya menjelaskan bahawa tema sambutan tahun ini iaitu ‘Sektor Pertanian: Survivabiliti Bangsa dan Negara’ sejajar dan mendukung tema Majlis Ilmu 2018 sebagai sumbangan Yayasan ke arah memenuhi pendekatan senegara.
Pada tahun ini, Yayasan mengetengahkan peserta yang terdiri daripada mereka yang terlibat dalam mengembangmajukan sektor pertanian di negara ini, yang terdiri daripada para pengeluar di sektor pertanian, pengusaha pasar-pasar raya, pengeluar atau pengeksport yang memasarkan dan memproses produk pertanian tempatan dan syarikat perkhidmatan sajian yang membeli hasil-hasil pertanian tempatan.
Selain, Yayasan juga mengetengahkan belia yang mengikuti projek pertanian seperti Projek Rintis, Projek Belia Berpadi, Projek Peladang Muda dan sebagainya serta para pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang pertanian di institusi pengajian di dalam negara, di samping wakil dari sektor kerajaan yang telah memberi dokongan terhadap sektor pertanian.




Yang Berhormat Pehin seterusnya menyembahkan, pertemuan berkenaan diharapkan dapat membantu memasarkan hasil pertanian tempatan melalui jalinan niaga kedua-dua belah pihak bagi memudahkan penawaran pasaran produk yang mereka hasilkan. Ini sekali gus dapat memberikan inspirasi kepada mereka yang berhasrat untuk berkecimpung dalam sektor pertanian bahawa hasil mereka nanti memang boleh dipasarkan melalui jalinan atau rangkaian pemasaran yang sedia ada.
Yang Berhormat Pehin menambah, kedua-dua golongan berkenaan berpotensi untuk saling membantu antara satu dengan yang lain bagi memperkembangkan dan meluaskan pasaran pertanian tempatan bukan sekadar ke pasaran dalam negeri malah akses pasaran ke luar negara ke arah pertumbuhan keluaran sektor pertanian yang lebih pesat dan berupaya menyumbang kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Antara lain tujuan pemilihan peserta pada tahun ini adalah bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam merangsang pertumbuhan sektor pertanian ke arah menjana kemajuan ekonomi negara yang dinamik dan mampan seperti yang dihasratkan dalam Wawasan Brunei 2035. Terdahulu itu, majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, selaku Timbalan Pengerusi 2 Jemaah Tadbir Yayasan.
Majlis diserikan dengan persembahan pentas oleh para pelajar Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (gabungan daripada kanak-kanak Taman Asuhan Kanak-kanak dan para pelajar sekolah rendah dan menengah).
Sebelum meninggalkan majlis, Baginda Sultan serta kerabat diraja berkenan menerima junjung ziarah dan beramah mesra dengan semua peserta yang setentunya memberi inspirasi dan perangsang kepada para peserta dalam melaksanakan peranan masing-masing.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Yang Berhormat Menteri-menteri Kabinet, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, timbalan-timbalan menteri, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap serta para jemputan khas. Pameran berkenaan dibukakan kepada orang ramai bermula pada jam 1:30 petang hingga 5 petang hari ini, di mana acara jualan produk pertanian tempatan juga diadakan.