BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan mengalu-alukan kedatangan Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Prabowo Subianto serta rombongan yang berada di negara ini bagi mengadakan Lawatan Negara.
Terdahulu sebelum itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berangkat bersama TYT Presiden Republik Indonesia dari The Empire Brunei menuju ke Istana Nurul Iman.
Di sepanjang jalan menuju ke Istana Nurul Iman, TYT Presiden Republik Indonesia disambut dengan pengibaran bendera kecil kedua-dua buah negara oleh para penuntut dan guru-guru dari beberapa buah sekolah kerajaan dan swasta.
MAJLIS SAMBUTAN NEGARA
Majlis Sambutan Negara berlangsung di perkarangan Istana Nurul Iman, di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama-sama TYT Presiden Republik Indonesia menaiki pentas khas untuk menerima Tabik Hormat diiringi dengan lagu kebangsaan kedua-dua buah negara serta 21 das tembakan meriam.
Kedua-dua pemimpin seterusnya beredar memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
TYT Presiden Republik Indonesia seterusnya diperkenalkan kepada kerabat diraja; pengiran-pengiran cheteria; menteri-menteri kabinet; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Di-Raja; timbalan-timbalan menteri; pemerintah ABDB; pemangku pesuruhjaya Polis Diraja Brunei; ketua-ketua perwakilan asing; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan setiausaha-setiausaha tetap dari JPM dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya disembahkenalkan kepada ahli-ahli rombongan rasmi TYT Presiden Republik Indonesia.
MAJLIS MENGADAP
Selesai saja Majlis Sambutan Negara, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat bersama TYT Presiden Republik Indonesia ke Cheradi Laila Kenchana bagi Majlis Mengadap.
Berangkat sama ke Majlis Mengadap tersebut ialah kerabat diraja.
Juga hadir ialah rombongan Republik Indonesia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku Menteri Pengiring.
MAJLIS PENGANUGERAHAN BINTANG KEBESARAN ‘DARJAH KERABAT LAILA UTAMA YANG AMAT DIHORMATI’ NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Majlis Mengadap tersebut diikuti dengan Majlis Penganugerahan Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam ‘Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (DK)’ yang dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada TYT Presiden Republik Indonesia yang membawa gelaran ‘Dato Laila Utama.’
MAJLIS MESYUARAT DUA HALA
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya mengadakan Majlis Mesyuarat Dua Hala dengan TYT Presiden Republik Indonesia di Baitul Mesyuarah.
Kedua-dua pemimpin membincangkan isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama khususnya.
Kedua-dua pemimpin menyatakan komitmen untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dan seterusnya percaya bahawa terdapat peluang untuk diperkukuh dalam bidang-bidang antara lainnya seperti perdagangan dan pelaburan, perikanan, pertanian, pelancongan dan tenaga boleh diperbaharui.
Kedua-dua pemimpin membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama termasuk perkembangan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara bagi Myanmar dan seterusnya menyentuh Palestin yang mana kedua-dua pemimpin melahirkan kebimbangan mengenai situasi kemanusiaan di Gaza, berikutan peningkatan keganasan dan sekatan bantuan yang berterusan.
Kedua-dua pemimpin itu juga mengulangi negara mereka terus menyokong negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan penyelesaian dua negara, berdasarkan sempadan sebelum 1967.
MAJLIS PERSANTAPAN NEGARA
Pada sebelah tengah hari, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat ke Majlis Persantapan Negara bagi meraikan TYT Dato Laila Utama Probowo Subianto, serta rombongan yang mengadakan Lawatan Negara ke negara ini.
Majlis Persantapan Negara dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya berkenan mengurniakan titah dan diikuti dengan ucapan balas daripada TYT Presiden Republik Indonesia.
TYT Dato Laila Utama Prabowo Subianto dilantik secara rasmi sebagai Presiden Republik Indonesia ke-8 pada 20 Oktober 2024.
Sejak penubuhan hubungan diplomatik pada bulan Januari 1984, Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia menikmati jalinan persahabatan dan hubungan kerjasama dua hala yang erat dan mesra dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, kesihatan, buruh dan pertukaran rakyat.
Kedua-dua negara juga be-kerjasama rapat melalui kerjasama serantau dan antarabangsa termasuk ASEAN, APEC, OIC dan BIMP-EAGA.