Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan sempurnakan pelancaran pameran seni

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah, berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Pameran Seni Faith & Devotion yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), hari ini.

    Pameran ini merupakan yang pertama di Brunei dengan menampilkan lebih 20 lukisan orientalis oleh artis terkenal abad ke-19 yang antara lain termasuk Jean-Leon-Gerome, Osman Hamdi Bey dan Rudolf Ernst.

    Selaras dengan tema Faith & Devotion, lukisan-lukisan ini secara kolektif meneroka gambaran dari pelbagai bahagian dunia Islam yang disebut sebagai Orient pada abad ke-19.

    Di samping itu, ia memberikan penerangan penting mengenai budaya dan agama Islam pada masa seniman dari Eropah, Amerika dan empayar Uthmaniyyah (kemudian Turkiye) yang diilhamkan oleh budaya dan amalan agama di rantau ini yang bersempadan dengan Mediterranean dan timur jauh, dari Maghribi di barat, ke Anatolia dan Konstantinopel di utara, ke Mesir, Levant dan India di timur.

    Majlis pelancaran turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan isteri; dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan isteri.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan YAM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah semasa berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Pameran Seni Faith & Devotion yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berserta YAM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan menyempurnakan Majlis Pelancaran Pameran Seni Faith & Devotion di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Turut berangkat, YAM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    ATAS & BAWAH: DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan menyempurnakan penyampaian tanda penghargaan kepada salah satu penaja. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Claude Piening ketika menyampaikan ucapan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan isteri, serta Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin semasa hadir ke majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad; dan Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.

    Hadir sama, Pengarah Kanan, Ketua Lukisan Eropah Abad ke-19, Sotheby’s, Claude Piening, serta pegawai-pegawai kanan, ketua-ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan tetamu jemputan yang lain.

    Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dijunjung menyempurnakan penyampaian tanda penghargaan kepada rakan pameran dan juga penaja semasa majlis pelancaran pameran.

    Rakan pameran termasuk Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) sebagai Diamond Partner, Sotheby’s sebagai Curation Partner dan rakan-rakan lain termasuk Unified National Networks (UNN), DST Digital Sdn Bhd (DST), Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), PrintPlus Sdn Bhd dan BKISHHB.

    Pameran Faith & Devotion akan mula dibukakan kepada orang ramai pada 20 Julai sehingga 30 Januari 2025 di Ruang Galeri 1, BKISHHB.

    Pada majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen turut berkenan menyempurnakan pelancaran Logo Bangunan BKISHHB.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda