Saturday, July 6, 2024
27.5 C
Brunei

    -

    Berkenan sempurnakan pengurniaan hadiah

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Penaung Diraja Anugerah ICT Brunei (BICTA) berkenan berangkat dan seterusnya menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada pemenang-pemenang BICTA 2024 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, hari ini.

    Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof selaku Pengerusi Bersama I Jawatankuasa Pandu BICTA 2024; Pengerusi, InfoCom Federation Brunei (IFB), Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff selaku Pengerusi Bersama II Jawatankuasa Pandu BICTA 2024; dan Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), Ir Haji Jailani bin Haji Buntar.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary dalam sembah alu-aluannya menyembahkan mengenai jumlah penyertaan BICTA di mana 158 penyertaan telah diterima pada tahun ini, peningkatan kira-kira 70 peratus berbanding tahun sebelumnya.

    Jumlah itu, ulasnya lagi, merupakan yang tertinggi pernah dicatat sepanjang pertandingan BICTA diadakan dengan penyertaan terbanyak daripada sekolah-sekolah dan tenaga pengajar.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Penaung Diraja Anugerah ICT Brunei (BICTA) berkenan dijunjung untuk melawat Galeri BICTA 20 Tahun dan pameran produk-produk para pemenang BICTA 2024 pada acara yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan bergambar ramai pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    DYTM Pengiran Muda Mahkota dijunjung untuk melawat Galeri BICTA 20 Tahun dan pameran produk-produk para pemenang BICTA 2024. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Ini mencerminkan minat yang luar biasa daripada generasi muda yang memiliki semangat tinggi untuk mengeksplorasi dan mencipta penyelesaian inovatif untuk pelbagai cabaran yang dihadapi hari ini.

    Semasa majlis berkenaan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menyaksikan tayangan video, BICTA 20 Tahun, yang memaparkan pencapaian-pencapaian BICTA sepanjang 20 tahun ia dikendalikan.

    Seterusnya, ulasan keputusan bagi BICTA 2024 diumumkan oleh Pengiran Sarimah selaku ketua hakim bagi BICTA 2024 disusuli dengan tayangan video, Catatan Perjalanan BICTA 2024, yang memperlihatkan kompilasi aktiviti dan pengalaman para peserta BICTA sepanjang 2024.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota seterusnya berkenan menyempurnakan pengurniaan BICTA 2024 bagi setiap kategori pertandingan, Anugerah Negara Pintar dan penyempurnaan pengurniaan Anugerah Penaung Diraja BICTA.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota seterusnya berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary.

    Sejurus itu, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung untuk melawat Galeri BICTA 20 Tahun dan pameran produk-produk para pemenang BICTA 2024.

    Selain memenangi hadiah wang tunai dan trofi, para pemenang dalam setiap kategori juga berpeluang mewakili negara ke Anugerah Asia Pacific ICT Alliance (APICTA) 2024 yang akan diadakan pada penghujung 2024 di Negara Brunei Darussalam.

    APICTA merupakan pertan-dingan ICT di peringkat antarabangsa yang berprestij, disertai oleh 17 ahli ekonomi dari rantau Asia Pasifik. Sejak penyertaannya di APICTA pada 2001, Negara Brunei Darussalam setakat ini telah meraih empat anugerah kemenangan dan 32 anugerah merit.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sidang Kemuncak SCO alu-alukan keahlian Belarus

    ASTANA, 5 JULAI – Sidang Kemuncak Majlis Ketua-ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) ke-24 yang berakhir kelmarin menyaksikan pencapaian luar biasa, termasuk penerimaan Deklarasi...