Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan sempurnakan perasmian surau, sekolah

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Bangunan Surau Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan Bangunan Sekolah Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, hari ini.

    Berkenan berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah, Pengerusi Pusat Ehsan dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar.

    Turut hadir ke majlis berkenaan ialah Penaung Pusat Ehsan, Datin Paduka Seri Hajah Mariam binti Haji Abdul Aziz. Majlis juga dihadiri oleh jemputan-jemputan khas, ahli-ahli masyarakat, pendidik dan penyokong bagi sama-sama meraikan dedikasi serta visi di sebalik institusi pendidikan inovatif berkenaan.

    Dalam sembah alu-aluannya, Pemegang Amanah Perubatan Pusat Ehsan, Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin memaklumkan bahawa Bangunan Sekolah Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam telah mula beroperasi sejak Januari 2024 setelah mendapat kebenaran dari Kementerian Pendidikan.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan YAM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah berkenan menerima junjung ziarah semasa melawat Bangunan Surau Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan Bangunan Sekolah Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, YAM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dan YAM Pengiran Muda Bahar berkenan bergambar ramai semasa majlis perasmian tersebut. Turut hadir Datin Paduka Seri Hajah Mariam dan menteri-menteri kabinet. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan mendengar sembah taklimat mengenai panel solar oleh Berakas Power Company Sdn Bhd. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Sekolah berkenaan merupakan sekolah khas bagi penuntut berkeperluan khas yang pertama di Negara Brunei Darussalam.

    Ulasnya, dengan adanya guru, pembantu guru dan ahli terapi yang profesional, sekolah itu menyediakan pelbagai program yang selaras dengan Program Tahun Awal, sekolah rendah dan Program Kesediaan Sekolah.

    Program Kesediaan Sekolah itu merupakan kerjasama guru-guru pendidikan sekolah dan ahli terapi Pusat Ehsan untuk mempersiapkan pelajar-pelajar sebelum mengikuti pembelajaran sekolah secara formal.

    “Ini merupakan titik permulaan perkembangan sekolah untuk lebih berjaya di masa akan datang.”

    Mengulas mengenai Bangunan Surau Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Dato Paduka Dr Haji Affendy menyatakan bangunan surau telah dapat dimanfaatkan oleh pelajar berkeperluan khas di mana surau menawarkan persekitaran yang tenang dan selesa untuk beribadah.

    Selain itu, aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di surau seperti kelas agama dan sesi bimbingan rohani dapat membantu mereka membina keyakinan diri serta meningkatkan kesejahteraan emosi.

    Pada majlis berkenaan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan mengurniakan sabda dan menyempurnakan pengurnaian cenderahati penghargaan kepada penaja-penaja dan penyokong.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan YAM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah kemudian berkenan mendengar sembah taklimat mengenai panel solar oleh Berakas Power Company Sdn Bhd dan berkenan melawat Program Kesediaan Sekolah, surau dan kemudahan sekolah berkenaan.

    Sekolah Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam merupakan sekolah penuntut berkeperluan khas pertama di Negara Brunei Darussalam di mana ia merupakan mercu tanda signifikan dalam landskap pendidikan negara serta mengukuhkan lagi komitmen kepada keterangkuman dan aksesibiliti dalam pendidikan.

    Sekolah berkenaan mengambil pendekatan holistik kepada pendidikan di mana ia juga menyediakan perkhidmatan pemulihan kepada pelajar-pelajarnya.

    Sekolah Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam bermatlamat untuk menjana sebuah persekitaran memperkasa dan memupuk di mana setiap individu dapat maju serta mencapai potensi penuh mereka.

    Menerusi program pendidikan dan sumber yang khusus serta pasukan pendidik yang berdedikasi, sekolah itu adalah berhasrat untuk memastikan bahawa setiap pelajar menerima sokongan yang mereka perlukan untuk berjaya.

    Di samping perasmian sekolah keperluan khas berkenaan, majlis perasmian itu juga menandakan perasmian bangunan surau dan bilik darjah yang menyediakan persekitaran selamat dan memastikan aksesibiliti komprehensif dan keterangkuman menerusi amalan dan pendidikan Islam dalam premis bagi pelajar-pelajar, kakitangan dan masyarakat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda