Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mei – Syarikat Cityneon Sdn Bhd hari ini secara rasmi menyerahkan hasil kutipan Hari Polo Amal 2019 bernilai $83,056 kepada Pasukan Polo Brunei Darussalam pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Izzah, Jerudong.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen yang mewakili Pasukan Polo Brunei berkenan menerima cek tersebut daripada wakil Cityneon, Jenny Lo.
Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan menyampaikan cek tersebut kepada Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin.
Berangkat sama ke majlis penyerahan sumbangan itu ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar.
Sumbangan merupakan hasil keseluruhan kutipan Hari Polo Amal 2019, yang termasuk yuran kemasukan, penjualan makanan dan jualan serta sumbangan yang dikumpulkan daripada kotak sumbangan yang disediakan semasa karnival anjuran Cityneon itu berlangsung.

