Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP) telah menganjurkan acara Scavenger Hunt bersempena dengan Hari Maritim Sedunia 2025 yang berlangsung di Jerudong Park, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PBMP, di sini, berkenan berangkat menyertai acara berkenaan ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan kerabat diraja.
Hadir selaku tetamu kehormat di acara berkenaan ialah Ahli Lembaga Pengarah PBMP, Dayang Norismizan binti Haji Ismail.
Program dimulakan dengan acara pelepasan peserta yang disempurnakan oleh Dayang Norismizan yang menandakan bermulanya acara Scavenger Hunt berkenaan.
Pada tahun ini, aktiviti berkenaan menarik penyertaan 80 buah pasukan, setiap satu dianggotai oleh lima orang peserta.






Kesemua slot pendaftaran telah ditutup dalam tempoh dua hari dibukakan, menunjukkan sokongan orang ramai yang luar biasa dan minat dalam aktiviti-aktiviti bertemakan maritim.
Para peserta bersaing untuk menyelesaikan siri cabaran dan petunjuk di sekitar Jerudong Park yang direka untuk menggabungkan ilmu pengetahuan maritim dengan kerja berpasukan serta kemahiran menyelesaikan masalah dalam cara yang interaktif dan menyeronokkan.
Hadiah-hadiah disampaikan kepada pasukan-pasukan pemenang dengan pasukan juara membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak $2,500 berserta piala, pingat dan barangan eksklusif PBMP.
Manakala, tempat kedua dan ketiga masing-masing telah membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak $1,500 dan $1,000 berserta piala, pingat dan barangan.
Selain itu, tujuh pasukan pula telah menerima hadiah sagu hati dan setiap orang telah menerima wang tunai sebanyak $250 dan barangan eksklusif PBMP.
Scavenger Hunt 2025 bukan sahaja satu platform bagi pertandingan sihat tetapi juga satu inisiatif untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai warisan maritim Negara Brunei Darussalam, sambil mempromosikan nilai-nilai perpaduan, daya tahanan kemampanan selaras dengan matlamat Minggu Maritim Brunei Darussalam 2025.

