Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah membantu Pasukan Peak meraih tempat kedua dalam Kategori Korporat 10 Kilometer (km) semasa Larian VA di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, ibu negara hari ini.
Manakala, LTB Ayam muncul juara Korporat 10km dan YouC1000 menduduki tempat ketiga.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohammad Yusof.
Yang Teramat Mulia turut berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang dalam kedua-dua kategori terbuka lelaki dan wanita sejauh 10km.
Larian itu, yang bertujuan bukan sahaja mempromosikan kesihatan dan kecergasan tetapi juga memupuk semangat kemasyarakatan dalam kalangan pelari sambil menyokong usaha murni itu telah menarik 1,035 peserta.
Atlet larian jarak jauh terkemuka, Ruzaini Mahadi muncul juara dalam Kategori Terbuka Lelaki 10km selepas mencatat masa 33:42 saat (s).
Juara berturut-turut itu menamatkan saingan di hadapan naib juara, Haqeem Darwish yang mencatat masa 34:30s manakala Awangku Khairul Amry Pengiran Azmi melepasi garisan dengan masa 37:09s untuk menduduki tempat ketiga.
Sementara itu, Siaw Kim Tho memenangi acara Terbuka Wanita 10km selepas mencatat masa 44:25s diikuti naib juara, Shazana Hamiroldzam dengan masa 50:19s dan Shazana Nabilah di tempat ketiga dengan masa 51:14s.
Pelari muda, Abdullah Abbas bin Awang Abdullah memenangi Kategori Junior Lelaki Tempatan Bawah 18 Tahun 10km setelah mencatatkan masa 35:36s.