Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Semangat perpaduan antara segenap lapisan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam terus menyerlah, menceriakan dan memeriahkan lagi suasana sekitar Bandar Seri Begawan semasa Acara Riadah Berbasikal Semangat Hari Kebangsaan 2024, hari ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bercemar duli menyertai acara berkenaan yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di sini.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri
Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah. Turut hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Mu’min.
Keberangkatan Baginda Sultan serta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Turut menjunjung keberangkatan ialah Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu; Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Dato Seri Paduka Mohamed Riza bin Dato Paduka Haji Mohamed Yunos dan Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.
Acara dimulakan dengan Baginda Sultan dijunjung bagi menandatangani baju kenangan sempena Riadah Berbasikal Semangat Hari Kebangsaan serta berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi dan Presiden Persekutuan Basikal Brunei Darussalam, Haji Harith bin Pehin Haji Abdul Aziz serta seterusnya dijunjung bagi sesi bergambar ramai bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 (HK40), 2024.
Upacara pelepasan riadah berbasikal bermula sejurus hon dibunyikan oleh Pegawai Penjara di Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Amirulmukmenin bin Haji Omar selaku pembaca ikrar utama Sambutan Ulang Tahun HK40.
Baginda Sultan berkenan untuk mendahului riadah berbasikal mengelilingi Bandar Seri Begawan sejauh 8 kilometer dan melintasi jalan-jalan utama antaranya Jalan Pretty, Jalan Elizabeth 2, Jalan Stoney, Jalan Haji Besar, Jalan Kumbang Pasang, Jalan Perdana Menteri, Jalan RIPAS, Jalan SOAS dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
Baginda berserta kerabat diraja kemudiannya berkenan menyaksikan perbarisan lalu daripada seramai 40 orang pekayuh basikal terdiri daripada atlet basikal negara dan kelab-kelab di bawah Persekutuan Basikal Brunei Darussalam yang diketuai oleh atlet basikal kebangsaan, Pengiran Amar Suriani bin Pengiran Hashim yang berjaya mengayuh basikal sejauh 40 kilometer yang berlepas sejak pukul 6:45 pagi dengan pelepasan acara berkenaan telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi.
Selepas penamat riadah tersebut, Baginda Sultan berserta kerabat diraja berkenan dijunjung bagi sesi ramah mesra bersama kumpulan-kumpulan persembahan yang terlibat dalam persembahan iaitu Kumpulan Kanak-kanak Tujuh Peradian Berdastar, Kumpulan Ikrar, Kumpulan Koir, Human LED, Sukarelawan Belia dan sebagainya semasa Sambutan Ulang Tahun HK40.
Sebelum acara riadah berbasikal, ia dimulakan dengan sembahyang Fardu Subuh berjemaah di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan diikuti dengan tazkirah subuh bertajuk Bersatu Mencapai Cita Negara yang disampaikan oleh pegawai agama di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Awang Muhammad Najib bin Haji Awang.
Riadah berbasikal berkenaan merupakan salah satu acara keraian sempena Sambutan Ulang Tahun HK40 di mana ia di bawah penganjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Persekutuan Basikal Brunei Darussalam serta jawatankuasa kerja terdiri daripada agensi-agensi kerajaan.
Ia antara lain bertujuan sebagai aspirasi negara mempromosikan gaya hidup sihat dengan mempelbagaikan kegiatan sukan riadah bukan sahaja melalui riadah larian ataupun berjalan.
Dengan adanya penyertaan seluruh peringkat, ia akan menyatupadukan masyarakat supaya lebih erat melalui kegiatan sukan dan secara tidak langsung membangun komuniti sukan yang sihat dan cergas.