Friday, December 20, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan sertai Riadah Berbasikal Keputeraan 2023

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Para peminat dan penggemar sukan berbasikal berkumpul dari awal pagi lagi di Bandar Seri Begawan dalam sama-sama memanifestasikan rasa cinta kepada raja dan negara dengan menyertai Acara Riadah Berbasikal Keputeraan 2023, hari ini.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bercemar duli menyertai acara berkenaan yang diadakan sempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-77 Tahun yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

    Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Duli Yang Teramat Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Mu’min.

    Keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Acara juga disertai oleh menteri-menteri kabinet, timbalan-timbalan menteri, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, para jemputan dan orang ramai termasuk warga asing.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat bercemar duli menyertai Riadah Berbasikal Keputeraan 2023 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara. Berangkat sama menyertai riadah tersebut ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah serta YAM Pengiran Muda ‘Abdul Mu’min. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung bergambar ramai bersama orang ramai. – Gambar oleh Muiz Matdani
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menyertai Acara Riadah Berbasikal Keputeraan. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah berkenan dijunjung ber-gambar ramai. – Gambar oleh Muiz Matdani
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyertai riadah berbasikal berkenaan. – Gambar oleh Muiz Matdani
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan beramah mesra bersama orang ramai. – Gambar oleh Muiz Matdani
    DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir berkenan menyaksikan gerai jualan Bandarku Ceria. Hadir sama, YAM Pengiran Muda Abdul Mu’min. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani

    Acara dimulakan dengan Baginda Sultan dijunjung bagi menandatangani bingkai jersi khas sempena Riadah Berbasikal Keputeraan 2023 dan bergambar ramai bersama ahli-ahli jawatankuasa riadah.

    Upacara pelepasan riadah berbasikal bermula sejurus hon udara dibunyikan oleh penerima anugerah sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-18, Tahun 2023.

    Baginda Sultan berkenan mendahului riadah berbasikal mengelilingi Bandar Seri Begawan sejauh 10.30 kilometer dan melintasi jalan-jalan utama antaranya Jalan Pretty, Jalan Elizabeth 2, Jalan Stoney, Jalan Haji Basir, Jalan Kumbang Pasang, Jalan Perdana Menteri, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Jalan Sultan Omar’ Ali Saifuddien dan menamatkan kayuhan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

    Baginda Sultan kemudiannya berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi dan Presiden Persekutuan Basikal Brunei Darussalam (PBBD), Haji Harith bin Pehin Haji Abdul Aziz.

    Seterusnya, Baginda dan kerabat diraja berkenan menyaksikan perbarisan lalu daripada seramai 77 orang pengayuh basikal atlet negara dan kelab-kelab di bawah PBBD yang diketuai oleh Pengiran Amar Suriani bin Pengiran Hashim.

    Para peserta telah berjaya melakukan kayuhan sejauh 77 kilometer dan berlepas sejak pukul 6:30 pagi di mana pelepasan mereka telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi.

    Baginda Sultan berserta kerabat diraja berkenan menyaksikan persembahan seni mempertahankan diri yang melibatkan seramai 335 orang atlet terdiri daripada 322 orang atlet kebangsaan, atlet pelapis kebangsaan, atlet-atlet di bawah Skim Jabatan Belia dan
    Sukan dan atlet-atlet dari kelab-kelab di bawah persatuan dengan melibatkan seramai 13 orang jurulatih sukan karate, kempo, kendo, kickboxing, taekwando dan pencak silat.

    Persembahan padang itu turut disertai oleh atlet-atlet muda yang berumur seawal empat tahun hingga 60 tahun dengan konsep persembahan mempamerkan pergerakan seni mempertahankan diri yang unik mengikut disiplin sukan masing-masing yang boleh dan sesuai dijadikan sebagai amalan yang baik untuk kesihatan dan kesejahteraan individu ke arah cara hidup yang sihat.

    Baginda Sultan dan kerabat diraja seterusnya berkenan bercemar duli dan menyaksikan dengan lebih dekat kegiatan jualan semasa Program Bandarku Ceria serta berkenan menerima junjung ziarah daripada para pengunjung ke acara riadah berbasikal dan
    Bandarku Ceria.

    Terdahulu, Program Bandarku Ceria dimulakan dengan sembahyang Fardu Subuh berjemaah di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan dan diikuti dengan tazkirah subuh bertajuk ‘Kekal Beraja, Kekal Bernegara’ yang disampaikan oleh Pegawai Ugama, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Awang Mohammad Nasyith bin Superi.

    Acara Riadah Berbasikal Keputeraan 2023 dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama JPM, Kementerian Pertahanan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Kementerian Kesihatan, Kemen-terian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan dan Info-komunikasi serta penglibatan semua kementerian-kementerian yang lain serta PBBD.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda