Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Semangat perpaduan di antara segenap lapisan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam terus menyerlah di mana ia menceriakan dan memeriahkan lagi suasana sekitar Bandar Seri Begawan apabila peminat dan penggemar sukan berbasikal, berkumpul dari awal pagi lagi untuk sama-sama memanifestasikan rasa cinta kepada raja dan negara dengan menyertai Acara Riadah Berbasikal Keputeraan 2024.
Cuaca pagi yang cerah bagai membakarkan semangat para peserta untuk sama-sama menyertai acara yang menggabungkan aspek gaya hidup sihat dan rekreasi dengan hasrat untuk membentuk budaya sukan dan memantapkan perpaduan menerusi penglibatan masyarakat secara menyeluruh ke arah mewujudkan warga negara sihat.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat bercemar duli menyertai acara Riadah Berbasikal Keputeraan 2024 sempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-78 tahun yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Mu’min.