Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Kampus Gadong, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), hari ini.
Keberangkatan Raja Permaisuri Agong ke UNISSA ini adalah sempena Keberangkatan Negara pertama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta Baginda Raja Permaisuri Agong ke Brunei Darussalam.
Berangkat sama Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah.
Keberangkatan tiba Baginda Raja Permaisuri Agong dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohammad Salleh, dan Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, menuju ke Maktabah UNISSA.
Majlis dimulakan dengan sembah alu-aluan daripada Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan.
Semasa lawatan tersebut, sebanyak 19 buah buku berkaitan dengan adat istiadat diraja, kesultanan, kemahkotaan, istiadat pertabalan dan istana negara yang menjadi lambang kedaulatan serta keagungan raja-raja Melayu telah disumbangkan oleh Baginda Raja Permaisuri Agong.
Buku-buku itu ditempatkan sebagai satu koleksi khas di Perpustakaan UNISSA dan dinamakan Sudut Buku Malaysia, yang mana sudut itu diharap akan memberikan manfaat yang besar kepada tenaga akademik dan pelajar UNISSA khususnya serta rakyat dan penduduk di negara ini amnya.
Baginda Raja Permaisuri Agong kemudian dijunjung berangkat menyaksikan pameran yang bermula di Galeri Al-Imtiaz di mana galeri ini mempamerkan perjalanan UNISSA dalam mencapai kegemilangan.
Baginda Raja Permaisuri Agong juga dijunjung menyaksikan Pameran Hubungan Kerjasama antara UNISSA bersama Institusi-institusi Pendidikan (IPT) Malaysia termasuk penyelidikan, buku-buku terbitan, anjuran persidangan bersama; Program Khidmat Masyarakat Al Qudwah di Malaysia, Program Mobiliti Penuntut UNISSA ke IPT Malaysia; Pertandingan Antarabangsa Pidato dan Pertandingan Pesta Pantun antara IPT Negara Brunei Darussalam.
Turut menarik perhatian Baginda Raja Permaisuri Agong adalah Projek Penyelidikan Studio Mushaf Digital iaitu sebuah studio yang melibatkan proses teliti dalam menghasilkan naskhah Al-Quran tulisan tangan.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan menerima pesambah daripada pihak UNISSA, dan beramah mesra bersama tenaga akademik dan pelajar-pelajar Malaysia di universiti berkenaan.