Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan menerima mengadap dan junjung ziarah seramai 992 orang bakal jemaah Negara Brunei Darussalam bagi musim haji tahun 1446H/2025M, yang terdiri daripada 472 orang lelaki dan 520 orang perempuan.
Jumlah tersebut termasuk pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Pentadbiran dan Perubatan) dan pegawai pengiring syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan pakej haji.
Turut berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Sebelum Majlis Mengadap dan Junjung Ziarah, bakal jemaah haji negara menunaikan sembahyang Fardu Zohor dan sembahyang Sunat Hajat berjemaah.
Pada majlis itu, bakal jemaah haji negara telah menerima kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia berupa pakaian ihram bagi jemaah haji lelaki dan telekung bagi jemaah haji perempuan.
Bagi musim haji tahun ini, terdapat enam buah syarikat diberi kebenaran mengendalikan perkhidmatan pakej haji iaitu Darussalam Services Sdn Bhd, Straits Central Agencies (B) Sdn Bhd, Al-Hijrah Travel & Tours Sdn Bhd, At-Taqwa Travel Tours Sdn Bhd, Dar El-Ehsan Travel Sdn Bhd dan Raudah Al-Amin Sdn Bhd.
Empat penerbangan akan membawa bakal jemaah haji negara serta pegawai-pegawai yang bertugas ke Madinah Al-Munawwarah dan akan mula berlepas meninggalkan negara pada 15 Mei depan pada pukul 10 pagi.






