Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan menerima mengadap secara berasingan ketua-ketua perwakilan asing yang akan menamatkan perkhidmatan, di Istana Nurul Iman.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Islam Iran ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Homeira Rigi Zirouki.
Puan Yang Terutama telah menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan kehadapan majlis Baginda Sultan pada 15 April 2019.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan menerima mengadap Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Heng Aik Yeow.
Tuan Yang Terutama telah menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan kehadapan majlis Baginda Sultan pada 8 Mac 2021.
Secara berasingan, di Qashr Al-Meezaan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran
Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri turut berkenan menerima mengadap ketua-ketua perwakilan asing berkenaan.
Duli Yang Teramat Mulia mula-mula berkenan menerima mengadap PYT Homeira Rigi Zirouki diikuti dengan TYT Heng Aik Yeow.